Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Usaha ASEAN galakkan kemampanan alam sekitar diiktiraf

​Berita dan Foto: Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin

1_pelancaranharialamsekitar_jastre.jpg

PERASMIAN Hari Alam Sekitar ASEAN dan Laporan Alam Sekitar ASEAN Ke-5 disempurnakan oleh Menteri-Menteri yang bertanggungjawab ke atas alam sekitar daripada 10 negara anggota ASEAN (AMS).

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 12 September. – Hasil daripada Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN Ke-13 (13th AMME) yang diadakan pada Oktober 2015 yang lalu, kata sepakat telah dicapai untuk memperbaharui Tahun Alam Sekitar ASEAN kepada Hari Alam Sekitar ASEAN yang diadakan setiap dua tahun.

Hari Alam Sekitar ASEAN bertujuan untuk meraikan dan menitikberatkan pencapaian alam sekitar dari negara anggota ASEAN dan komitmen ASEAN terhadap perlindungan alam sekitar.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Pelancaran Hari Alam Sekitar ASEAN yang berlangsung di Serambi Suloh, Restoran Tarindak D'Seni, Bandar Seri Begawan.

"Malam ini kita akan menyaksikan Majlis Bandaraya Mampan Alam Sekitar ASEAN Ke-4 dan Penyampaian Sijil Pengiktirafan. Ini adalah sangat penting untuk mengiktiraf usaha-usaha yang dibuat oleh bandar yang dicalonkan, selain untuk mempromosikan kepelbagaian dan pencapaian yang dibuat oleh bandar-bandar tersebut melalui acara ini.

Malam ini juga kita akan menyaksikan Pelancaran Laporan Alam Sekitar ASEAN Ke-5, yang menunjukkan keadaan sosioekonomi, status dan trend dalam pelbagai sektor alam sekitar, dan usaha yang dilakukan oleh ASEAN untuk menggalakkan kemampanan alam sekitar sambil meletakkan keutamaan dalam pembangunan sosioekonomi," tambah beliau lagi.

Penyampaian Sijil Pengiktirafan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah.

2_pelancaranharialamsekitar_jastre.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah (kiri) menyempurnakan penyampaian Sijil Pengiktirafan.

Majlis diisikan dengan tayangan klip video pendek mengenai Taman Warisan Baharu ASEAN (AHPs): Taman Negara Kepulauan Seribu dan Taman Negara Wakatobi yang terletak di Indonesia, diikuti dengan perasmian Hari Alam Sekitar ASEAN dan Laporan Alam Sekitar ASEAN Ke-5 yang dirasmikan oleh Menteri-Menteri yang bertanggungjawab ke atas alam sekitar daripada 10 negara anggota ASEAN (AMS).

Juga hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Setiausaha Tetap ASEAN; 'ASEAN Mayor'; wakil daripada Institut Alam Sekitar Stockholm (SEI); wakil daripada Sekretariat ASEAN; Delegasi ASEAN serta para pegawai kanan daripada Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments