Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
ASEAN +3 berpotensi majukan persekitaran alam sekitar

Oleh: Khartini Hamir | Foto: Mohd. Sahrizal Haji Said

1_15th_EMM+3.jpg

NEGARA Brunei Darussalam menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Ke-15 Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN+3 (15th EMM+3). Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah.

BERAKAS, Rabu, 13 September. – Melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN +3 diharap akan dapat menghasilkan ke arah kerjasama yang lebih bermanfaat dan produktif, terutamanya dalam memajukan kerjasama persekitaran di antara ASEAN dan rakan +3 serta mengalu-alukan kerjasama berpotensi yang lain dalam bidang alam sekitar pada masa akan datang.

Ini dinyatakan dalam ucapan pembukaan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah selaku Pengerusi pada Mesyuarat Ke-15 Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN+3 (15th EMM+3) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.

Menteri Pembangunan berkata, kemajuan yang dicapai dalam kerjasama ASEAN +3 di bawah sektor alam sekitar termasuk: Strategi ASEAN - CHINA Kerjasama Alam Sekitar (2016 - 2020); Kerjasama Lingkungan ASEAN - Jepun; pelaksanaan Kerjasama Lingkungan ASEAN - ROK dan Rangka Kerja baharu untuk Dana Kerjasama ASEAN - ROK 2017 - 2020.

Jelasnya kerjasama ini membolehkan pembinaan kapasiti dan pelaksanaan projek utama yang merangkumi spektrum pemuliharaan serta perlindungan alam sekitar, contohnya: air dan sisa air, pengurusan sisa, bandar yang mampan, kepelbagaian biologi juga pendidikan alam sekitar.

Selain itu menurutnya lagi, bidang kerjasama ini juga memberi manfaat kepada pembuat dasar, pengamal alam sekitar dan belia melalui peningkatan pengetahuan serta kepakaran, amalan teknikal juga terbaik.

Negara Brunei Darussalam kali ini menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Ke-15 Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN+3 (15th EMM+3) dan dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah dan Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku Ketua Delegasi bagi Negara Brunei Darussalam.

Mesyuarat dihadiri oleh Menteri-Menteri Alam Sekitar yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan Pegawai-pegawai Kanan dari Negara Anggota ASEAN (AMS) +3, iaitu Jepun, China dan Republik Korea bagi mengkaji kerjasama serantau mengenai beberapa isu alam sekitar dan membincangkan inisiatif baharu untuk mempromosikan kerjasama serantau mengenai alam sekitar.

2_15th_EMM+3.jpg

MESYUARAT Ke-15 Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN+3 (15th EMM+3) dihadiri oleh Menteri-Menteri Alam Sekitar yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan Pegawai-pegawai Kanan dari Negara Anggota ASEAN (AMS) +3 iaitu Jepun, China dan Republik Korea.

Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN +3 yang diadakan setiap tahun bertujuan untuk menggalakkan kerjasama alam sekitar di antara negara-negara ASEAN dan negara anggota +3.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments