Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Perubahan permohonan pindah milik tanah berkuat kuasa 2 Januari 2018

Siaran Akhbar: Jabatan Tanah, Kementerian Pembangunan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Disember. – Jabatan Tanah, Kementerian Pembangunan ingin memaklumkan kepada para pemilik tanah bergeran dan pelanggan-pelanggan bahawa berdasarkan pemantauan pihak jabatan, masih terdapat pemohon-pemohon yang tidak hadir untuk menandatangani Memorandum of Transfer (MOT) bagi permohonan pindah milik tanah.

Sehubungan itu, menurut Siaran Akhbar Jabatan Tanah, berkuat kuasa bermula 2 Januari 2018, beberapa perubahan akan diperkenalkan bagi permohonan-permohonan pindah milik tanah.

Pertama, pemohon tidak perlu menunggu surat makluman perjanjian untuk menandatangani MOT tetapi boleh ditandatangani tiga hari selepas permohonan pindah milik dihadapkan melalui dalam talian, LARIS 'https://laris.gov.bn' dan pengesahan penerimaan permohonan berkenaan telah diterima oleh pemohon daripada Jabatan Tanah. Permohonan tersebut akan hanya dihadapkan kepada pihak yang berkuasa apabila MOT telah selesai ditandatangani.

Kedua, para pemohon pindah milik tanah yang gagal menandatangani MOT dalam tempoh 21 hari bermula dari tiga hari selepas pengesahan penerimaan permohonan berkenaan telah diterima, maka permohonan pindah milik tanah tersebut adalah dibatalkan dengan sendirinya tanpa sebarang makluman. Pemohon yang berkeinginan untuk meneruskan pindah milik bolehlah menghadapkan permohonan baharu.

Ketiga, bagi permohonan sebelum perubahan ini berkuat kuasa dan belum hadir untuk menandatangani MOT adalah dipersilakan untuk berbuat demikian. Kegagalan untuk memenuhi penandatanganan yang dimaksudkan sebelum tarikh yang dinyatakan akan menyebabkan permohonan dibatalkan dengan sendirinya.

Oleh yang demikian, semua pemilik-pemilik tanah bergeran dan pelanggan-pelanggan Jabatan Tanah yang berkenaan akan dapat hadir ke Jabatan Tanah, Bahagian Pendaftaran bagi tanah-tanah yang terletak di Daerah Brunei dan Muara dan di cawangan-cawangan Pejabat Tanah seluruh daerah di mana lokasi tanah mereka bagi tujuan yang dimaksudkan.

Waktu perkhidmatan kaunter-kaunter Pejabat Tanah adalah seperti berikut; bagi Bahagian Pendaftaran, Pejabat Pesuruhjaya Tanah (Tingkat Bawah) dibuka dari Isnin hingga Khamis dan Sabtu, bermula 8.00 pagi hingga 11.30 pagi dan 2.00 petang hingga 3.30 petang. Jumaat, Ahad dan hari kelepasan awam kaunter perkhidmatan ditutup.

Sementara bagi Pejabat Tanah Daerah Tutong, Belait dan Temburong, kaunter dibuka dari Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula dari 8.00 pagi hingga 11.30 pagi dan 1.45 petang hingga 3.30 petang. Jumaat, Ahad dan hari kelepasan awam kaunter perkhidmatan ditutup.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments