Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Kementerian Pembangunan mengekalkan kejuaraan perbarisan, perarakan maulud

Oleh: Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad | Foto: Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah

2_Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Perhimpunan dan Perarakan Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW.jpg

MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menyampaikan hadiah kepada Kementerian Pembangunan setelah menjuari Kategori Kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan pada Perbarisan dan Perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara 1439 Hijrah.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 9 Januari. – Kementerian Pembangunan mengekalkan kejuaraannya apabila muncul juara Kategori Kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan pada Perbarisan dan Perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara 1439 Hijrah, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai BND 4,000.

Johan Kategori Sekolah / Menengah / Arab / Maktab / Institut Pengajian Tinggi / Swasta pula disandang oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang menerima wang tunai sebanyak BND 6,500.

Kategori Mukim / Kampung / Majlis Perundingan Mukim dan Majlis Perundingan Kampung (MPMK) / Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid pula dijuarai oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan Kumpulan Ukhwah Kejiranan Al-Barakah RPN Meragang yang juga menerima wang tunai sebanyak BND 4,000, sementara johan bagi Kategori Persatuan-Persatuan dan Sektor Swasta diraih oleh Persatuan Masyarakat Indonesia (PERMAI).

Para pemenang juga membawa pulang piala iringin dan sijil penyertaan.

Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Perbarisan dan Perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1439H yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan kementerian berkenaan, di sini.

1_Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Perhimpunan dan Perarakan Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW.jpg

MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa hadir pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Perhimpunan dan Perarakan Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara 1439 Hijrah.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

Bagi Kategori Hadiah Khas, ia dibahagi pada empat pecahan penerima, iaitu Kategori Sekolah Menengah / Arab / Maktab / Institusi Pengajian Tinggi / Swasta; Kategori Kementerian dan Jabatan Kerajaan; Kategori Persatuan-persatuan, NGO dan Sektor Swasta juga Kategori Kampung dan Masjid.

Bagi Kategori Sekolah Menengah / Arab / Maktab / Institusi Pengajian Tinggi / Swasta, pemenangnya adalah Institut Pendidikan Teknikal Brunei dan bagi Kategori Kementerian dan Jabatan Kerajaan pula sekali lagi diberikan kepada Kementerian Pembangunan.

Sementara AJK Takmir Masjid dan Kumpulan Belia Kampung Perpindahan Serasa, Muara memenangi Kategori Kampung dan Masjid dan Pertubuhan Zaidana memenangi Kategori Persatuan-persatuan, NGO dan Sektor Swasta.

Perhimpunan dan Perarakan sempena sambutan tersebut bertema 'Rasulullah Qudwah Pemimpin Adil' yang berlangsung pada 13 Rabiulawal 1439H, disertai oleh 126 pasukan dengan keramaian 12,810 orang peserta mengikut kategori masing-masing dengan jarak perarakan yang dilalui sejauh 3.7 kilometer.

Perbarisan dan perarakan tersebut bagi memperlihatkan rasa kecintaan serta menanamkan rasa kasih kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Turut hadir, Pemangku Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohd. Seruddin bin Haji Timbang; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Haji Mohammad Amirul Shahnoel bin Haji Mohammad Noeh; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Ajman bin Haji Meludin dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja'ah.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments