Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Musabaqah Tilawah Al-Quran sempena Isra’ Mi’raj

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Musabaqah Tilawah Al-Quran 1440H.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menyampaikan hadiah kepada johan qari, Awang Haji Muhamad Khairul Hafizuddin bin Haji Shamsudin dari Jabatan Ukur.

2_Musabaqah Tilawah Al-Quran 1440.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menyampaikan hadiah kepada johan qariah, Dayang Ratinah binti Hidup dari Jabatan Ukur.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 11 April. – Kementerian Pembangunan hari ini mengadakan Musabaqah Tilawah Al-Quran sempena memperingati Isra' dan Mi'raj yang dikelolakan bersama oleh Jabatan Pentadbiran dan Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal, Jabatan Kerja Raya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, Menteri Pembangunan hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Dayang Lim Sui Kau Alice, dan para pegawai serta kakitangan di Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.

Majlis tersebut antara lain bertujuan bagi menggalakkan para peserta supaya terus mempelajari dan menguasai bacaan Al-Quran, di samping menggalakkan mereka untuk sentiasa mengamalkan bacaan Al-Quran agar menjadi amalan harian dan beroleh keberkatan dari Allah Subhanahu Wata'ala.

Seramai lapan orang peserta qari dan lapan orang peserta qariah menyertai pertandingan tersebut di peringkat saringan yang telah diadakan pada 1 April lalu di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya. Hanya tiga orang qari dan tiga orang qariah sahaja yang berjaya melayakkan diri untuk memasuki ke peringkat akhir.

Johan qari pertandingan tersebut telah disandang oleh Awang Haji Muhamad Khairul Hafizuddin bin Haji Shamsudin dari Jabatan Ukur manakala johan qariah disandang oleh Dayang Ratinah binti Hidup yang juga dari Jabatan Ukur.

3_Musabaqah Tilawah Al-Quran 1440.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar bersama para pemenang qari dan qariah Musabaqah Tilawah Al-Quran.

Naib johan masing-masing disandang oleh Awang Haji Mohd Eddy Huzaimi bin Haji Mat Yassin dari Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya dan Dayang Soffina binti Ali Hassan dari Jabatan Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal, Jabatan Kerja Raya, manakala Awang Mohamad Yusrin bin Daud dari Jabatan Ukur dan Dayang Norsahlina binti Md Shahredzuan dari Jabatan Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal, Jabatan Kerja Raya mendapat tempat ketiga.

Majlis yang diadakan di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya ini turut diserikan dengan ceramah keugamaan yang disampaikan oleh Dr. H. Harapandi bin Haji Dahri dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Attachments