Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Penganugerahan anak-anak kunci rumah bagi Daerah Tutong

Oleh: Jabatan Kemajuan Perumahan | Foto: Kementerian Pembangunan

3_Penganugerahan anak-anak kunci rumah bagi Daerah Tutong.JPG

2_Penganugerahan anak-anak kunci rumah bagi Daerah Tutong.JPG

1_Penganugerahan anak-anak kunci rumah bagi Daerah Tutong.JPG

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah kepada beberapa penerima.

TUTONG, Khamis, 2 Mei. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah kepada 451 orang penerima di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang bagi Daerah Tutong.

Majlis berkenaan diadakan di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Tutong, Mukim Pekan Tutong. Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di helipad di kawasan kediaman rasmi Pegawai Daerah Tutong dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut menjunjung ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; dan Pegawai Daerah Tutong, Yang Mulia Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah AI-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Haji Shahril Azman bin Pengiran Haji Metusin, Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Tutong diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Yang Mulia Pegawai Daerah Tutong.

Pada majlis berkenaan, seramai 65 orang menerima kunci rumah jenis kluster dan 386 orang lagi menerima kunci rumah jenis teres. Bagi memberkati majlis doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Tutong.

Sejurus selesai menyempurnakan majlis penganugerahan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenaan membuat lawatan ke Sekolah Menengah Muda Hashim, Jalan Sungai Besar Tutong. Sejumlah 636 orang penuntut mengikuti pembelajaran di sekolah ini dari Tahun 7 hingga peringkat Pra Vokasional. Sekolah ini mula ditubuhkan pada tahun 1967, dimana pada tahun 1971 hingga 1983 sekolah ini dinamakan Sekolah Menengah Melayu Muda Hashim Tutong (Malay Medium). Pada tahun 1984 pula, nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Menengah Muda Hashim (English Medium).

Dari Sekolah Menengah Muda Hashim, Kebawah Duli Yang Maha Mulia meneruskan lawatan ke Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai. Sekolah ini mempunyai penuntut seramai 166 orang terdiri dari penuntut Pra sehingga Tahun 6. Bangunan lama sekolah ini mula digunakan pada tahun 1968. Bersempena penggabungan sekolah rendah dan sekolah menengah pada awal tahun 2004, sekolah ini ditukar nama menjadi Sekolah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai. Kemudian dengan perpindahan sekolah menengah ke sekolah baru pada tahun 2009, nama sekolah berkenaan kembali pada asalnya iaitu Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai Tutong.

Institusi-institusi pendidikan di negara ini juga terus mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia, bila mana perkara ini jelas terbukti pada setiap Majlis Penyempurnaan Penganugerahan Anak-anak Kunci Rumah di seluruh negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan bercemar duli berangkat melawat ke sekolah-sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi berdekatan bagi meninjau dengan lebih dekat perkembangan dan kemajuan pendidikan di negara ini.

Selesai membuat lawatan di Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenaan berangkat ke rumah Ketua Kampong Sengkarai (Pemangku Ketua Kampong Penabai / Kuala Tutong dan Pemangku Penghulu Mukim Pekan Tutong), Awang Haji Mumin bin Abdul Razak. Pada keluasan 2.6 kilometer persegi, mukim ini mempunyai penduduk seramai 2,399 orang.

Dari kediaman Ketua Kampong, Kebawah Duli Yang Maha Mulia meneruskan lawatan baginda ke Perusahaan Kerupok Syarikat Hairol Aminah di Kampong Penabai, Kuala Tutong. Syarikat ini mula aktif membuat keropok sejak tahun 2007 dan mula diangkat oleh MPK Penabai Kuala Tutong menjadi Satu Kampung Satu Produk (1K1P) sejak tahun 2017. Antara jenis produk yang dihasilkan keropok udang, keropok ikan, keropok ubi manis dan keropok ubi belayar.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia meneruskan lawatan ke Perusahaan Seri Melati Sendirian Berhad di Kampong Kuala Tutong. Perusahaan Seri Melati ini mula beroperasi pada tahun 1977 dimiliki oleh Haji Abd Rashid bin Haji Mahmood dan ianya adalah perusahaan yang pertama di Negara Brunei Darussalam mengendalikan pembuatan perahu dan barangan rumah menggunakan bahan-bahan fiberglass.

Diakhir lawatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenaan berangkat ke rumah-rumah penerima anak-anak kunci di bawah RPN Bukit Beruang, Tutong;

  1. Yang Mulia Dayang Kozidah binti Abdullah Tinit: Lot 20917, No. 55, Jalan Beleleng Uai (Rumah Teres),
  2. Yang Mulia Dayang Nurgayah binti Abdullah: Lot 20970, No. 40, Jalan Beleleng Uai (Rumah Teres),
  3. Yang Mulia Dayang Siti Sabariah binti Ibrahim: Lot 21060, No. 47, Simpang 34, Jalan Beleleng Uai (Rumah Kluster), dan
  4. Yang Mulia Dayang Noraini binti Yahya: Lot 21091, No. 2, Simpang 8, Jalan Beleleng Uai (Rumah Kluster)

5_Penganugerahan anak-anak kunci rumah bagi Daerah Tutong.JPG

6_Penganugerahan anak-anak kunci rumah bagi Daerah Tutong.JPG

4_Penganugerahan anak-anak kunci rumah bagi Daerah Tutong.JPG

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke rumah-rumah penerima anak-anak kunci di bawah RPN Bukit Beruang Tutong.

Rumah jenis kluster ini mempunyai keluasan Iantai 120 meter persegi. Manakala unit teres pula mempunyai keluasan lantai 106 meter persegi. Setiap unit kluster dan teres ini mempunyai tiga bilik tidur, bilik mandi dan dapur.

Pada kawasan seluas 474 hektar, secara keseluruhan 756 unit rumah telah dibina oleh pihak kontraktor yang dilantik. Dari jumlah berkenaan, 368 unit adalah rumah jenis kluster dan 388 unit pula rumah jenis teres. Kawasan perumahan ini merupakan satu konsep pembangunan perumahan komprehensif lengkap dengan ruang tanah untuk kemudahan awam di masa hadapan seperti sekolah, masjid, taman dan kawasan rekreasi dan taman permainan.

Dapat dilihat sejak wujudnya Rancangan Perumahan Negara, ia terus berkembang dan dinikmati oleh seluruh rakyat dan negara ini. Hingga ke hari ini, Iebih dari 28 ribu unit rumah dan lot tanah disediakan di bawah RPN dan STKRJ di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 28,610 unit telah dianugerahkan kepada para penerima yang berkelayakan. Manakala dari jumlah berkenaan, 2,695 orang adalah pemohon yang berjaya mengikuti RPN bagi Daerah Tutong.

7_Penganugerahan anak-anak kunci rumah bagi Daerah Tutong.JPG

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke rumah-rumah penerima anak-anak kunci di bawah RPN Bukit Beruang Tutong.

Penganugerahan rumah-rumah berkenaan, jelas mencerminkan keprihatinan dan pemedulian baginda kepada rakyat dan penduduk negara ini dan secara langsung membuktikan komitmen Kerajaan dalam mendukung hasrat dan cita-cita baginda khususnya dalam menyediakan perumahan yang berkonsep berdaya tahan dan mapan dimiliki selaras dengan salah satu objektif Rancangan Kemajuan Negara (RKN) untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Dalam usaha memacu agenda perumahan negara bagi mencapai matlamat menyediakan perumahan yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk di negara ini, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan sedang giat merangka dasar dengan fokus utama dan strategi yang dapat menyediakan hala tuju ke arah perancangan dan pembangunan sektor perumahan yang lebih berdaya saing.

Attachments