Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Bangkel Pasukan Petugas Dokumen Operasi BNCCP

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Bangkel Pasukan Petugas Dokumen Operasi BNCCP.jpg

SESI bergambar ramai bersama para peserta Bengkel Pasukan Petugas Dokumen Operasi Bagi Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) bagi Strategi 7: Pengurusan Sisa.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 6 Oktober. – Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam telah melancarkan satu dasar perubahan iklim pertama seumpamanya di negara ini iaitu Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam pada 25 Julai baru-baru ini.

Pasukan Petugas Dokumen Operasi (ODTF) bagi Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) telah dibentuk untuk menghasilkan Dokumen Operasi terperinci untuk mengoperasikan BNCCP ke arah negara lestari yang rendah karbon dan berdaya tahan.

Bengkel ODFTF bagi Strategi 7 BNCCP mengenai Pengurusan Sisa akan diadakan selama dua hari iaitu pada 6 dan 7 Oktober, dianjurkan bersama oleh Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi selaku agensi peneraju dan Sekretariat Perubahan Iklim Brunei. Bengkel selama 2 hari ini dirasmikan oleh Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Haji Marzuke bin Haji Mohsin, Timbalan Menteri Pembangunan. Bengkel ini adalah merupakan siri terakhir bengkel ODTF yang telah dilaksanakan sejak 31 Ogos yang lalu.

2_Bangkel Pasukan Petugas Dokumen Operasi BNCCP.jpg

SEBAHAGIAN daripada para peserta Bengkel Pasukan Petugas Dokumen Operasi Bagi Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) bagi Strategi 7: Pengurusan Sisa.

Wakil dari Autoriti Petroleum dijemput sebagai pemudah cara, di samping agensi-agensi peneraju bagi memudah cara bengkel berkenaan. Peserta-peserta terdiri daripada enam puluh lapan wakil dari pihak-pihak berkepentingan yang relevan termasuk agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, organisasi dan persatuan bukan kerajaan (NGO), untuk merangka Dokumen Operasi bagi mengurangkan sumbangan gas rumah hijau dan juga mengurangkan kadar penjanaan sampah kepada 1 kg setiap orang sehari, terutamanya pelepasan gas metana (Methane gas, CH4) dengan mengurangkan jumlah sampah yang perlu dilupuskan melalui pengurangan sampah, penggunaan amalan terbaik dan teknologi inovatif.

Objektif bengkel ini adalah mengumpulkan maklumbalas dari pihak-pihak berkepentingan yang relevan dalam menyusun rancangan tindakan bagi perlaksanaan tiga objektif strategi utama Strategi 7, iaitu: (i) Mempromosikan dan melaksanakan pengurangan sampah ('waste minimization') melalui konsep 3R (pengurangan, guna semula dan kitar semula) untuk mengurangkan jumlah sisa pepejal domestik dan sisa industri yang dilupuskan ke tapak pelupusan, (ii) Menggunakan teknologi sisa-buangan-ke-tenaga ('waste-to-energy') bagi mengurangkan penggunaan tanah untuk tapak pelupusan dan mengurangkan jumlah sampah yang perlu dilupuskan, dan (iii) Meningkatkan pendidikan awam dan kesedaran kepada masyarakat umum dengan mempromosikan dan meningkatkan penyertaan mereka dalam inisiatif dan program yang berkaitan dengan 3R.

3_Bangkel Pasukan Petugas Dokumen Operasi BNCCP.jpg

TIMBALAN Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin semasa berucap di Bengkel Pasukan Petugas Dokumen Operasi Bagi Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) bagi Strategi 7: Pengurusan Sisa.

ODTF ini ditubuhkan bagi membentuk peta jalan yang inklusif, menyeluruh dan koheren serta mengandungi pelan tindakan jangka masa panjang yang terperinci, pemboleh utama, garis masa, kunci petunjuk utama yang terperinci serta mekanisme pemantauan dan pelaporan bagi perlaksanaan kesemua 10 strategi yang terkandung di dalam Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam. Antara 10 strategi tersebut adalah Pelepasan Industri; Liputan Hutan; Kenderaan Elektrik; Tenaga Lestari; Pengurusan Tenaga; Harga Karbon; Pengurusan Sisa; Kedayatahanan dan Adaptasi Perubahan Iklim; Inventori Karbon; dan Kesedaran dan Pendidikan.

Draf pertama Dokumen Operasi Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam dijangka akan dihasilkan pada penghujung bulan Oktober dan akan dihadapkan kepada Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

Antara yang menyertai bengkel tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

Attachments