Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Jerayawara 'Ke Arah Mencapai Negara Eko' dirasmikan

​Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

2_Jerayawara ‘Ke Arah Mencapai Negara Eko’ dirasmikan.jpg

YANG Berhormat Menteri Pembangunan semasa memberikan ucapan dan seterusnya merasmikan Jerayawara 'Ke Arah Mencapai Negara Eko' sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2021.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 Jun. – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi tidak terkecuali daripada menyertai masyarakat global bagi memperingati Hari Alam Sekitar Sedunia 2021, yang lazimnya disambut secara global sejak ia diperkenalkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1974.

Ia telah menjadi wadah bagi penglibatan orang ramai untuk meningkatkan kesedaran serta membuat tindakan demi menjaga kesejahteraan alam sekitar sama ada secara individu mahupun secara bersepadu, baik di peringkat kebangsaan, serantau dan juga antarabangsa.

Hadir semasa acara tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, selaku tetamu kehormat.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Martinah binti Haji Tamit.

Acara diteruskan dengan ucapan dan pelancaran Hari Alam Sekitar Sedunia 2021 oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Menteri Pembangunan menyentuh mengenai tema Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini iaitu 'Pemulihan Ekosistem' atau 'Ecosystem Restoration', dengan slogan: 'Reimagine. Recreate. Restore', merupakan kesinambungan acara Hari Bumi yang baru sahaja diraikan pada 22 April yang lalu yang bertemakan 'Restore Our Earth'.

Kedua-dua tema ini mengenalpasti keperluan untuk memulihkan bumi dengan memfokuskan kepada pengurangan dan adaptasi terhadap kerosakan dan pencemaran alam sekitar.

Tahun ini juga bermulanya Dekad Pemulihan Ekosistem Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu ('United Nations Decade on Ecosystem Restoration') yang akan berlangsung sehingga 2030, satu seruan kepada masyarakat global untuk melindungi dan menghidupkan semula ekosistem di seluruh dunia dengan menghentikan degradasi ekosistem dan memulakan serta meningkatkan kerja-kerja pemulihan sejagat.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan juga menekankan kerjasama setiap lapisan masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing melalui pendekatan seluruh negara atau 'Whole of Nation Approach' demi memelihara ekosistem yang mampan.

Yang Berhormat Menteri turut mengongsikan beberapa aktiviti yang telah disusun oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi bagi meraikan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini.

Salah satunya ialah jerayawara yang berkonsepkan promosi kesedaran alam sekitar di mana pelbagai usaha, program dan perkhidmatan yang menjurus kepada perlindungan dan pemulihan alam sekitar dan ekosistem dapat dilihat melalui inisiatif dari agensi-agensi Kerajaan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (Non-Government Organisation, NGO), serta perkhidmatan dan produk mesra alam yang ditawarkan sektor swasta dan pengusaha-pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME).

Acara diikuti dengan Yang Berhormat Menteri Pembangunan merasmikan jerayawara Ke Arah Mencapai Negara Eko dan melancarkan Buku Panduan Penanaman Pokok serta Kempen Kebersihan Senegara di bawah Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan yang akan bermula pada 13 Jun 2021.

Acara seterusnya diikuti dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan 'Floating Waste Collector Conceptual Design' oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

7_Jerayawara ‘Ke Arah Mencapai Negara Eko’ dirasmikan.jpg

YANG Berhormat Menteri Pembangunan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Floating Waste Collector Conceptual Design Kategori A: Skimmer Boat kepada kumpulan UBDFit dari Universiti Brunei Darussalam.

6_Jerayawara ‘Ke Arah Mencapai Negara Eko’ dirasmikan.jpg

YANG Berhormat Menteri Pembangunan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Floating Waste Collector Conceptual Design Kategori B: Floating Trapping Mechanism kepada kumpulan SIMPUR dari Universiti Teknologi Brunei.

Pertandingan tersebut terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori A: Skimmer Boat dan Kategori B: Floating Trapping Mechanism.

Kategori A telah dimenangi oleh kumpulan UBD FIT dari Universiti Brunei Darussalam manakala bagi kategori B disandang oleh kumpulan SIMPUR dari Universiti Teknologi Brunei sebagai pemenang tempat pertama.

Rekabentuk ini akan dijadikan sebagai prototaip dan seterusnya dinaiktarafkan dan 'upscaled' kepada teknologi yang efektif bagi pembersihan sungai-sungai dan longkang-longkang di negara ini.

Acara kemudian diakhiri dengan Yang Berhormat Menteri Pembangunan meninjau ke pameran jerayawara termasuk pameran karya seni daripada artis-artis kreatif tempatan dan sukarelawan-sukarelawan belia yang diperbuat daripada bahan-bahan yang dapat diguna semula yang membawakan tema ekosistem.

Turut hadir semasa acara tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama U Htin Lynn; Pesuruhjaya Tinggi Kanada, Puan Yang Terutama Jeanette Stovel; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Tran Van Khoa; Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona; Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Heng Aik Yeow; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turki, Tuan Yang Terutama Professor Dr. Hamit Ersoy; Charge d'Affaires Kedutaan Amerika Syarikat, Puan Yang Terutama Emily M. Fleckner; Tuan Nawaf Mazi H. Al Bdawi, selaku wakil Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Emad bin Abdul Aziz Bin Saad Al Muhanna; Puan Natalie Gowers-Barners selaku wakil Pesuruhjaya Tinggi British, Tuan Yang Terutama John Virgoe; Puan Chintana Vingpaseuth selaku wakil Pesuruhjaya Tinggi Australia, Puan Yang Terutama Tiffany Anne McDonald; Tuan Kuwae Kazuhide selaku wakil Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun, Tuan Yang Terutama Eiji Yamamoto; Tuan Singgih Yuwono selaku wakil Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dr. Sujatmiko; dan Wakil Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran.

Juga hadir ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Fdr. Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abdul Rahman, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash'ari, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad; Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan serta Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, dan Kementerian Pembangunan.

4_Jerayawara ‘Ke Arah Mencapai Negara Eko’ dirasmikan.jpg

5_Jerayawara ‘Ke Arah Mencapai Negara Eko’ dirasmikan.jpg

TETAMU kehormat Menteri Pembangunan semasa meninjau ke beberapa pameran sempena memperingati Hari Alam Sekitar Sedunia 2021.

Jerayawara yang bertemakan 'Ke Arah Mencapai Negara Eko' dibukakan kepada orang ramai pada 5 dan 6 Jun 2021 bermula dari jam 10:00 pagi hingga 5:00 petang di Tingkat 1, Ruang Legar, Kementerian Pembangunan.

Jerayawara ini menerapkan amalan Bawa Sendiri dalam menyokong Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik dan Inisiatif Bebas Botol Plastik. Orang ramai adalah dinasihatkan untuk membawa barang-barang guna semula mereka semasa mengunjungi jerayawara tersebut.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Attachments