Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Majlis mendirikan tiang masjid baharu RPN Kampong Mengkubau

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Kerja Raya

1_Majlis mendirikan tiang masjid baharu RPN Kampong Mengkubau.jpg

YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan hadir selaku Tetamu Kehormat Bersama, menyaksikan pameran bangunan baharu Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampong Mengkubau.

KAMPONG MENGKUBAU, Selasa, 14 Disember. – Penduduk Rancangan Perumahan Negara Kampong Mengkubau dan sekitarnya akan mempunyai sebuah bangunan masjid baharu yang dibina di atas sebidang tanah yang berkeluasan lapan ekar.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Bersama pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Ghafar.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat / Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman@Othman; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; dan Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

Sejurus ketibaan Tetamu-tetamu Kehormat Bersama, taklimat keselamatan disampaikan oleh Pegawai Keselamatan Tapak Pembinaan.

Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah diikuti dengan laungan azan, bacaan Ayat Kursi, shalawat dan zikir mendirikan tiang masjid baharu secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Penguasa Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Yang Mulia Awang Zulkifli bin Haji Murat.

Acara diteruskan dengan menuang simen yang didahului oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan, diikuti oleh para jemputan khas yang hadir.

Doa Selamat turut dibacakan oleh Yang Mulia Awang Zulkifli bin Haji Murat.

Majlis pada hari tersebut diakhiri dengan kunjungan ke pameran bangunan masjid baharu berkenaan.

Bangunan masjid baharu ini dijangka siap pembinaannya pada bulan November 2022 dengan menggunakan anggaran peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara yang berjumlah BND4.3 juta.

Keseluruhan kapasiti masjid baharu Rancangan Perumahan Negara Kampong Mengkubau ini boleh menampung lebih kurang 2,000 orang jemaah.

Diantara kemudahan yang disediakan di masjid ini ialah Dewan Sembahyang Utama Lelaki, Dewan Sembahyang Perempuan, Bilik Kuliah, Bilik Perpustakaan, Pejabat Pentadbiran, Bilik P.A. Sistem, Pejabat Imam dan Bilal, Tandas dan Tempat Berwudhu Lelaki, Tandas dan Tempat Berwudhu Perempuan, Tandas Orang Berkeperluan Khas Lelaki, Tandas Orang Berkeperluan Khas Perempuan, Bilik Pengurusan Jenazah, Bilik Pembersih, Stor dan Kelengkapan, Dapur dan Tempat Letak Kereta.

Sumber: Siaran Akhbar Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Attachments