Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions
Kementerian Pembangunan mengungkayahkan Malam Munajat kali ke-51

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

2_Kementerian Pembangunan mengungkayahkan Malam Munajat kali ke-51.JPG

WARGA Kementerian Pembangunan menyertai Malam Munajat secara maya dari Surau Kementerian Pembangunan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 3 September. – Malam Munajat Anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama yang diadakan secara maya setiap hari Sabtu malam Ahad terus mendapat sambutan yang memberangsangkan serta sokongan padu dan kerjasama erat daripada kementerian-kementerian di negara ini. Malam Munajat kali ke-51 ini diungkayahkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan.

Penyertaan minggu ini terdiri daripada warga kerja kedua-dua Kementerian berserta ahli keluarga masing-masing, wakil lembaga-lembaga dan pertubuhan di bawah kawalan Kementerian Pembangunan, serta jemaah dari 87 buah masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.

Menyertai acara Malam Munajat minggu ini ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

1_Kementerian Pembangunan mengungkayahkan Malam Munajat kali ke-51.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid turut hadir ke acara Malam Munajat kali ke-51.

Malam Munajat minggu ini juga disertai oleh dua orang Al-Huffaz jemputan dari Republik Indonesia, iaitu Muhammad Naja Hudia Afifurrahman Agusfian, Al-Hafiz berkelainan upaya yang menghidap lumpuh otak (cerebral palsy) sejak lahir dan Nur Syahwa Syakhila Muhammad Sabhan, yang berkelainan upaya mengalami gangguan pada penglihatan (tunanetra) sejak lahir.

Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria, dari Surau Kementerian Pembangunan.

Acara diteruskan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Muhammad Naja Hudia Afifurrahman Agusfian, Al-Hafiz jemputan dari Indonesia.

Seterusnya Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Ugama Kanan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali dari Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampong Sungai Kelugos.

Acara diserikan dengan tazkirah bertajuk 'Meraih KeampunanNya' yang disampaikan oleh Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Haji Mohammad Ali Wafiuddin bin Haji Osman.

Setelah itu, bacaan Selawat Ibrahimiyyah dipimpin oleh Awang Mohammad Iman Budiman bin Haji Aspar dari Kementerian Pembangunan, bersama ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, dari Surau Kementerian Pembangunan.

Acara diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Mohammad Adham bin Hashim dari Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampong Rimba.

3_Kementerian Pembangunan mengungkayahkan Malam Munajat kali ke-51.JPG

WARGA Kementerian Pembangunan yang hadir ke acara Malam Munajat kali ke-51 semasa sesi bergambar ramai.

Orang ramai adalah sangat dialu-alukan untuk menyertai Malam Munajat untuk mendekatkan diri dan memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, beristighfar, berzikir serta merafa'kan doa secara serentak beramai-ramai dengan niat agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara dari sebarang musibah yang tidak diingini dan berjaya membendung penularan COVID-19.

Orang ramai bolehlah menyertai Malam Munajat dari mana jua berada pada setiap hari Sabtu (malam Ahad) dengan melayari pautan http://tiny.cc/munajatkheu atau mengikuti secara langsung melalui Instagram Pusat Da'wah Islamiah @pdi_kheu.

Sumber: Siaran Akhbar Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Attachments