Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kempen 'Coastal Marvel' sempena Hari Bumi 2024​

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

1_Kempen ‘Coastal Marvel’ sempena Hari Bumi 2024.jpg

TETAMU kehormat bersama para peserta kempen “Coastal Marvel".

PANTAI SERASA, Sabtu, 18 Mei. –  Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan pagi tadi mengadakan Kempen Kebersihan Senegara Persisiran Pantai bagi Serpihan Laut “Coastal Marvel" di bawah Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan (JIIK) bagi Kementerian Pembangunan di Taman Rekreasi Pantai Muara, bersempena dengan sambutan Hari Bumi 2024.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

Acara didahului dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa selamat, dan diikuti dengan taklimat keselamatan semasa pembersihan pantai.

Acara kemudiannya diteruskan dengan sesi pemanasan badan dan senaman ringan sebelum memulakan kempen kebersihan di sepanjang persisiran pantai.

Kempen turut diselitkan dengan Aktiviti “Marvel-Race 2024" iaitu satu pertandingan mini di antara jabatan-jabatan dan divisyen-divisyen di bawah Kementerian Pembangunan yang melibatkan aktiviti-aktiviti pergerakan, interaktif dan informatif bagi memeriahkan lagi acara kempen tersebut.

Turut hadir semasa kempen tersebut ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohammad Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Dayang Aldila binti Haji Mohammad Salleh; Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit selaku Pengerusi Majlis; Ketua-Ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.

2_Kempen ‘Coastal Marvel’ sempena Hari Bumi 2024.jpg

AKTIVITI kempen kebersihan yang dikendalikan di persisiran Pantai Serasa.

Dipenghujung kempen, sejumlah 372.5 kilogram sampah telah dikutip oleh lebih dari 200 orang peserta, dimana sebanyak 183 kilogram daripadanya adalah sisa botol plastik. 

Mula diperkenalkan pada tahun 2021 oleh Kementerian Pembangunan, kempen kebersihan “Coastal Marvel"ini dijadikan satu usaha “lead by example" pihak kerajaan di bawah Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan dalam meningkatkan kesedaran awam perihal kepentingan menjaga kebersihan, khususnya di persisiran pantai dan di perairan. Ini sekaligus memperkasa masyarakat untuk menanamkan rasa tanggungjawab dalam melindungi dan memelihara alam sekitar melalui kaedah pembuangan sampah yang betul.

Maklumat lanjut mengenai kempen ini turut dikongsikan di laman Instagram rasmi Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi: @jastre.bn.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan.

Attachments