Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kerja-kerja meroboh gerai terbiar

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Kerja-kerja meroboh gerai-gerai terbiar.jpg

KERJA-KERJA meroboh gerai-gerai terbiar dilaksanakan oleh Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR).

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Jun. – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah meningkatkan lagi usaha untuk membuka dan menanggalkan gerai-gerai di tepi jalan yang tidak lagi digunakan dan terbiar di dua lokasi yang dikenal pasti di Jalan Muara.

Operasi yang telah selesai pada 23 Mei 2024 ini dilaksanakan oleh JKR dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei.

Kementerian ini menyeru kepada penjaja gerai supaya beroperasi secara sah di kawasan yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan dan tidak beroperasi di tempat yang tidak dibenarkan. Penjaja gerai yang beroperasi secara sementara akan lebih menyukarkan pihak penguatkuasa undang-undang untuk mengesan mereka.

2_Kerja-kerja meroboh gerai-gerai terbiar.jpg

GERAI-GERAI terbiar ini bukan sahaja mencemarkan pemandangan, malahan berpotensi mendatangkan bahaya.

Terdapat gerai di tepi jalan yang sudah usang, mencemarkan pemandangan dan berpotensi membahayakan. Struktur-struktur/gerai terbiar ini bukan sahaja menjejaskan imej negara tetapi juga menimbulkan risiko kepada pejalan kaki dan pengguna jalan raya. Penghapusan gerai-gerai ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang lebih luas untuk meningkatkan persekitaran dan memastikan keselamatan orang awam.

Di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya, mendirikan apa jua struktur di atas jalan atau rizab jalan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dengan denda sebanyak BND 2,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya sebanyak BND 4,000 dan penjara selama tiga (3) bulan. Ketua Pengarah Kerja Raya mempunyai kuasa untuk menanggalkan struktur-struktur/gerai sedemikian dan boleh menuntut kembali perbelanjaan yang ditanggung dari mereka yang beroperasi di atas dan pemilik struktur-struktur/gerai tersebut.

Kementerian ingin menegaskan bahawa kos membuka dan menanggalkan itu adalah sebahagian daripada bajet Kerajaan yang sepatutnya dibelanjakan untuk membina jalan raya atau pembaikan jalan raya. Orang ramai harus mematuhi undang-undang dan bertindak secara bertanggungjawab bagi memperbaiki persekitaran dan kesejahteraan awam.

Orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123 untuk membuat aduan jika terdapat mana-mana gerai yang terbiar dan boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Attachments