Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Pertukaran lawatan tahunan Brunei-Singapura Ke-17

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

1_Pertukaran lawatan tahunan Brunei-Singapura Ke-17.jpeg

DELEGASI Kementerian Pembangunan menghadiri Mesyuarat Pertukaran Lawatan Tahunan Ke Tujuh Belas Brunei-Singapura mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (BSAEV ke-17) di Republik Singapura.

REPUBLIK SINGAPURA, Rabu, 28 Ogos. – Mesyuarat Pertukaran Lawatan Tahunan Ke Tujuh Belas Brunei-Singapura mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (BSAEV ke-17) ialah aktiviti di bawah Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Dua Hala dalam Hal Ehwal Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah diadakan pada 28 Ogos 2024 di Republik Singapura.

Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, dan terdiri daripada Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dan Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, Sekretariat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri dan wakil dari Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Republik Singapura.

Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar, Republik Singapura, Puan Yang Terutama Grace Fu, mengetuai delegasi Singapura yang terdiri daripada Setiausaha Tetap, Mr. Stanley Loh, dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kelestarian dan Alam Sekitar Singapura, Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) dan PUB, Agensi Air Singapura.

Semasa mesyuarat tersebut, para Menteri menyatakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura dan mengesahkan hubungan istimewa antara kedua-dua negara. Para Menteri menegaskan komitmen mereka untuk terus memajukan kemajuan dan memperkukuhkan kerjasama dalam perlindungan alam sekitar serta menangani perubahan iklim.

Para Menteri mengambil maklum kemajuan berterusan mengenai projek dan program yang sedia ada antara kedua-dua negara dalam bidang pengurusan sisa pepejal, pengurusan kualiti udara, pengurusan sumber air, program belia alam sekitar dan perubahan iklim.

Sehubungan dengan itu, para Menteri menyokong usaha berterusan dalam pengurusan sisa pepejal di kedua-dua negara. Negara Brunei Darussalam membentangkan kemajuan terkini mengenai projek Pembersihan Sungai Brunei, penambahan 'electrical waste compactors' mudah alih yang ditempatkan di beberapa tapak pengumpulan sampah, peningkatan duti eksais produk plastik, beberapa program kesedaran awam yang melibatkan sektor swasta termasuk inisiatif 'Hari Kitar Semula Senegara' bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai amalan kitar semula.

Republik Singapura pula menekankan perkembangan terkini dalam pengurusan sisa pembungkusan, seperti caj beg pakai buang, skim pelapuran pembungkusan mandatori, inisiatif yang baru dikenalkan iaitu Beverage Container Return Scheme (BCRS) serta kajian kebolehlaksanaan yang sedang dijalankan iaitu skim 'Extended Producer Responsibility (EPR)'.

Kedua-dua negara membincangkan kepentingan ekonomi kitaran (circular economy) dan mengalu-alukan peluang selanjutnya untuk menerokai kerjasama diperingkat serantau dalam bidang ini. Mesyuarat juga membincangkan inisiatif-inisiatif untuk meningkatkan kesedaran awam dan menangani sisa buangan marin, serta bertukar maklumat mengenai pemantauan kualiti udara dan pendekatan pengurusan kawalan pencemaran.

Para Menteri mengambil maklum inisiatif terkini mengenai pengurusan sumber air, termasuk penambahbaikan infrastruktur air di Singapura, usaha berterusan untuk perlindungan pesisiran pantai dan pendayatahanan banjir, serta strategi untuk mengurangkan karbon dalam sistem air di negara Singapura. Manakala Negara Brunei Darussalam berkongsi rancangan untuk memperluas Smart Sewer Digital Platform bagi mengesan sekatan saliran paip, serta cadangan kerjasama dengan Republik Singapura untuk meningkatkan rawatan air di Negara Brunei Darussalam.

Para Menteri juga mengambil maklum usaha untuk memupuk kesedaran alam sekitar di kalangan belia melalui aktiviti seperti 'ASEAN Youth Eco- Champion Award Initiative'. Bagi isu perubahan iklim, para Menteri membincangkan kemajuan yang baik mengenai penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ASEAN Climate Change Centre, ACCC) di Negara Brunei Darussalam, dan seterusnya bertukar pandangan mengenai strategi kawalan denggi bersepadu Singapura serta Projek Wolbachia untuk mengurangkan kes-kes denggi di Republik Singapura.

Para Menteri juga menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan negara-negara ASEAN lain dalam perlindungan alam sekitar termasuk usaha untuk mencegah, memantau, dan mengurangkan jerebu rentas sempadan, serta menangani kesan perubahan iklim. Para Menteri menyedari bahawa kerjasama ini penting untuk mencapai pembangunan mampan dan memastikan persekitaran yang sihat dan bersih di rantau ini.

Para Menteri juga menegaskan komitmen untuk meningkatkan kerjasama dan memupuk persahabatan erat serta perkongsian antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Negara Brunei Darussalam akan menjadi Tuan Rumah mesyuarat BSAEV ke-18 pada tahun 2025.

Sumber: Siaran Akhbar Bersama Kementerian Pembangunan, Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Kelestarian dan Alam Sekitar, Republik Singapura.

Attachments