Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Kemajuan Perumahan
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah di bawah Skim Perumahan Negara bagi Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong.
KILANAS, Sabtu, 31 Ogos. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat menyempurnakan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah di bawah Skim Perumahan Negara bagi Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong kepada 440 orang penerima. Majlis disempurnakan di Dewan Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Jalan Ban 5, Kampong Kilanas.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; dan Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyempurnakan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah kepada para penerima di bawah Skim Perumahan Negara bagi Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong.
Pada majlis tersebut, seramai 440 orang telah dianugerahkan anak-anak kunci rumah di bawah Skim Perumahan Negara dimana 397 orang adalah terdiri daripada penerima dari Daerah Brunei dan Muara manakala 43 orang penerima adalah dari Daerah Tutong. Dari keseluruhan jumlah tersebut, 404 orang telah diperuntukan rumah jenis teres, 29 orang diperuntukan unit pangsapuri, seorang diperuntukan rumah jenis kembar dan 6 orang diperuntukan rumah jenis kluster.
Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Brunei dan Muara.
Sejurus selesai menyempurnakan majlis penganugerahan berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung berangkat melawat ke Sekolah Menengah Sayyidina Hasan dan seterusnya ke Sekolah Rendah Awang Haji Mohd Yusof Katimahar, Kampong Katimahar.
Selepas lawatan dari institusi pendidikan berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan berangkat ke rumah Pemangku Ketua Kampong Lugu dan Kampong Katimahar, Awang Haji Bujang bin Haji Abd Ghani.
Dari rumah Pemangku Ketua Kampong Lugu dan Kampong Katimahar, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung berangkat melawat ke rumah-rumah para peserta yang menerima anak-anak kunci rumah teres di bawah Perumahan Negara Kampong Lugu.
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung berangkat melawat ke rumah-rumah para peserta yang menerima anak-anak kunci rumah teres di bawah Perumahan Negara Kampong Lugu.
Bagi mengakhiri majlis keberangkatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung berangkat ke Dewan Berkshire, Tarindak D'Polo, Jerudong bagi majlis santap tengah hari.
Rakyat Baginda amat bertuah dengan kepimpinan Baginda yang terus memberikan keprihatinan serta pemedulian terhadap kesejahteraan dan kualiti kehidupan rakyat di negara ini. Ia jelas terbukti dengan adanya penyediaan perumahan yang selesa, mampu milik dan mampan khususnya melalui Skim Perumahan Negara.
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia menerusi Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan telah, masih dan akan terus giat melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha dalam memastikan rakyat mempunyai tempat kediaman sejajar dengan hasrat Matlamat Kedua Wawasan Brunei 2035 iaitu ke arah kualiti kehidupan yang tinggi.
Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan.