Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan
MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid mengetuai rombongan Kementerian Pembangunan semasa Majlis Dikir di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampong Sungai Akar.
KAMPONG SUNGAI AKAR, Ahad, 8 September. – Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam, Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya mengadakan Majlis Dikir di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampong Sungai Akar.
Rombongan Kementerian Pembangunan yang dihadiri oleh kira-kira 50 orang pegawai dan kakitangan diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku tetamu kehormat majlis.
Majlis dimulakan dengan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Dikir Syarafil 'Anam.
Majlis kemudian diteruskan dengan sembahyang Fardhu Isya' berjemaah dan Dikir Qiam.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Imam Tingkat III, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Muhammad Helmy bin Haji Jamil.
ANTARA warga Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang hadir.
Majlis tahunan Kementerian Pembangunan ini bertujuan untuk memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam dan memupuk rasa cinta kepada Baginda.
Rombongan Kementerian Pembangunan akan meneruskan Majlis Dikir di Masjid Jame' Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong pada hari Khamis, 12 September 2024.