Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

TAKLIMAT daripada Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) semasa Bina Brunei 2025: Talk Series.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Februari. – Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Kementerian Pembangunan, telah menutup tirai Bina Brunei 2025: Talk Series, satu acara selama tujuh hari yang berlangsung dari 3 hingga 12 Februari 2025 di Dewan Indera Pahlawan.
Talk series ini dibuka kepada orang ramai serta pihak berkepentingan dalam industri pembinaan dan kemajuan, menyediakan platform untuk perbincangan mengenai kemajuan industri, peraturan, dan amalan terbaik. Selain itu, acara ini turut menampilkan pameran mini dan Klinik Kemajuan, di mana agensi-agensi kerajaan membantu menjawab pertanyaan orang ramai mengenai pembinaan rumah dan hal-hal berkaitan kemajuan.

ANTARA yang hadir.
Selain ABCi, antara beberapa jabatan kerajaan dan agensi lain yang turut serta dalam acara ini termasuk Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Tanah, beberapa buah jabatan di bawah Jabatan Kerja Raya, Sekretariat Penilai dan Ejen Harta Tanah (BoVEA), Dewan Bahasa dan Pustaka, Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), serta Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi (AITI).

PAMERAN industri pembinaan turut diadakan.
Bina Brunei 2025: Talk Series mengukuhkan komitmen kerajaan dalam memastikan industri pembinaan yang teratur dan progresif, ke arah pembangunan mampan di Negara Brunei Darussalam.