Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan
HARI PERTAMA

TIMBALAN Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh hadir selaku tetamu kehormat semasa Majlis Pembukaan Kursus Penyiasatan Lanjut dan Proses Pendakwaan Bersama Pejabat Peguam Negara.
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 9 Julai. – Bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran dalam bidang penyiasatan dan pendakwaan, Kementerian Pembangunan dengan kerjasama Pejabat Peguam Negara mengadakan Kursus Penyiasatan Lanjut dan Proses Pendakwaan di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya selama dua hari bermula 9 hingga 10 Julai 2025.
Hadir selaku tetamu kehormat ke majlis pembukaan kursus tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh.
Dalam ucapannya, tetamu kehormat majlis menyatakan bahawa kursus ini merupakan kesinambungan daripada Kursus Asas Penyiasatan yang pernah dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan sebelum ini dan diharap akan dapat memperlengkapkan pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan dibawahnya dengan pengetahuan serta kefahaman yang lebih mendalam mengenai kuasa penguatkuasaan di bawah undang-undang.

TIMBALAN Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan memberikan ucapan alu-aluan.
Kursus ini juga bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, kemahiran dan pengetahuan para penguatkuasa dalam menjalankan siasatan yang lebih efektif, terutama dalam mengemukakan kes ke pihak pendakwa.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kementerian dalam memperkukuhkan kecekapan penguatkuasaan undang-undang dibawah kawalannya serta mengeratkan kerjasama dengan Pejabat Peguam Negara dalam sama-sama menegakkan sistem keadilan jenayah di Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir di majlis pembukaan kursus ialah Ketua-Ketua Jabatan, Divisyen dan Unit serta pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Pembangunan yang terlibat dalam usaha-usaha penguatkuasaan undang-undang.
.JPG)
PESERTA lelaki Kursus Penyiasatan Lanjut dan Proses Pendakwaan.
.JPG)
PESERTA perempuan Kursus Penyiasatan Lanjut dan Proses Pendakwaan.
HARI KEDUA

TIMBALAN Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh menyampaikan sijil kepada peserta Kursus Penyiasatan Lanjut dan Proses Pendakwaan.
BANDAR SESI BEGAWAN, Khamis, 10 Julai. – Seramai 81 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan dibawahnya telahpun menamatkan kursus Penyiasatan Lanjut dan Proses Pendakwaan, hari ini.
Majlis penutup dan penyampaian sijil kepada semua peserta kursus dan fasilitator telahpun disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh, selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan.

UCAPAN penutup daripada Awang Shamsuddin bin Haji Kamaluddin, Pegawai Undang-Undang Kanan, Pegawai Pendakwa Raya dan Ketua Unit Jenayah Am, Bahagian Keadilan Jenayah, Pejabat Peguam Negara.
Semasa ucapan di majlis penutup berkenaan, Awang Shamsuddin bin Haji Kamaluddin, Pegawai Undang-Undang Kanan, Pegawai Pendakwa Raya dan Ketua Unit Jenayah Am, Bahagian Keadilan Jenayah, Pejabat Peguam Negara mengongsikan harapan agar segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperolehi sepanjang kursus ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dalam melaksanakan tugas-tugas penyiasatan dan penyediaan kertas siasatan.
Sepanjang kursus ini, peserta telah mengikuti sembilan sesi yang merangkumi taklimat penerangan mengenai Tatacara Pengumpulan dan Pemeliharaan Bukti, Merekod Pernyataan dan Isu-Isu yang sering dialami dalam penyiasatan daripada fasilitator undangan daripada Pejabat Peguam Negara yang diikuti dengan sesi soal-jawab interaktif.


ANTARA aktiviti yang dijalankan semasa kursus berkenaan.
Pada akhir kursus tersebut, para peserta juga berkesempatan untuk menjalankan latihan praktikal yang merupakan sebahagian daripada pengisian kursus bertujuan untuk memberi pendedahan secara langsung kepada para peserta dalam mengalikasikan pengetahuan serta kemahiran yang telah diperolehi sepanjang sesi berkenaan.
Turut hadir pada majlis penutup berkenaan ialah Ketua-Ketua Jabatan, Divisyen dan Unit serta pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Pembangunan yang terlibat dalam penguatkuasaan undang-undang.