Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

NEGARA Brunei Darussalam mengendalikan Bengkel Teknikal ASEAN-Korea Cooperation Fund (AKCF) Kali Ke-4 bagi pengurusan mineral yang kritikal dan strategi yang mampan untuk alam sekitar di negara-negara ASEAN.
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 1 Disember. – Sesi pembukaan Bengkel Teknikal ASEAN-Korea Cooperation Fund (AKCF) Kali Ke-4 bagi pengurusan mineral yang kritikal dan strategi yang mampan untuk alam sekitar di negara-negara ASEAN telah diadakan di sebuah hotel, pagi ini. Bengkel selama tiga hari itu berlangsung dari 1 hingga 3 Disember, menghimpunkan pakar, pengamal serta pegawai teknikal dari kesemua negara anggota ASEAN dan Republik Korea.


SESI bergambar ramai.
Projek AKCF ini bertujuan untuk memperkukuh keupayaan ASEAN dalam mengurus mineral yang kritikal termasuk mewujudkan pengetahuan mengenai critical mineral ASEAN secara menyeluruh, mendokong pertukaran data geologi dan keupayaan pemetaan Sistem Maklumat Geografi (Geographical Information System [GIS]), mempromosikan tadbir urus sektor mineral yang bertanggungjawab dan mampan serta meningkatkan kerjasama serantau dan pembangunan dasar.
Seiring dengan dunia yang kini bergerak ke arah tenaga bersih, keperluan terhadap mineral-mineral ini semakin meningkat. Teknologi boleh diperbaharui memerlukan jumlah mineral yang jauh lebih besar berbanding sistem bahan api tradisional. Sebagai contoh, kenderaan elektrik menggunakan beberapa kali ganda lebih banyak mineral berbanding kenderaan konvensional, manakala turbin angin sangat bergantung kepada magnet nadir bumi. Pada masa yang sama, ketegangan geopolitik, kawalan eksport dan kesesakan rantaian bekalan telah meningkatkan risiko bagi negara yang sangat bergantung kepada sumber mineral import. Keadaan ini telah mewujudkan dorongan global untuk kepelbagaian rantaian bekalan, sumber mineral mampan dan tadbir urus mineral yang lebih kukuh.
Bagi negara-negara ASEAN, mineral yang kritikal ini adalah satu cabaran dan juga peluang. Rantau ini mempunyai simpanan mineral penting seperti nikel, timah, silika, nadir bumi dan lain-lain, yang menempatkan Asia Tenggara sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global. Untuk memanfaatkan peluang ini, negara anggota ASEAN memerlukan sistem data bersepadu, kepakaran bersama, dan rangka kerja pembangunan yang mampan. Pengukuhan keupayaan serantau bukan sahaja akan meningkatkan keselamatan mineral tetapi juga menarik pelaburan, menyokong industri hiliran baharu dan menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi jangka panjang.
Sesi pembukaan dimulakan dengan kata alu-aluan oleh Pengarah Sekretariat Teknikal Jawatankuasa Penyelarasan bagi Program Geosains di Asia Timur dan Asia Tenggara (CCOP), Tuan Yongzheng Ma; Ketua Penyelidikan Penerokaan Mineral dan Perlombongan dari Institut Geosains dan Sumber Mineral Korea (KIGAM), Dr. Park Gyesoon; Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN mengenai Mineral (ASOMM) dari Republik Demokratik Rakyat Lao, Puan Amvieng Phaovongsay; dan Pegawai Kanan, Bahagian Tenaga dan Mineral, Sekretariat ASEAN dari Republik Indonesia, Puan Rabiah Al Adawiyah. Ini diikuti dengan ucapan pembukaan oleh wakil Negara Brunei Darussalam, Ketua Divisyen Pelaburan dan Undang-Undang, Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Hajah Sarimah binti Haji Awang.
Dalam ucapan beliau, Dayang Dr. Hajah Sarimah menyatakan bahawa bagi Negara Brunei Darussalam, topik ini sangat selaras dengan keutamaan negara. Negara Brunei Darussalam mengiktiraf kepentingan yang semakin meningkat dalam memahami potensi mineralnya sendiri dan peluang bagi industri hiliran dan pertengahan yang mampan sebagai usaha mempelbagaikan ekonomi di luar minyak dan gas, yang seterusnya akan membantu dalam menyediakan dasar yang lebih tepat sejajar dengan Wawasan Brunei 2035.

KETUA Divisyen Pelaburan dan Undang-Undang, Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Hajah Sarimah binti Haji Awang memberikan ucapan alu-aluannya.
Melalui bengkel ini, para peserta diharap akan dapat mengadakan perbincangan mengenai penilaian mineral yang kritikal, pengurusan data dan kemampanan dengan hadirnya kira-kira 50 peserta peringkat teknikal dari kesemua negara anggota ASEAN, Republik Korea, Pejabat ASEAN Sekretariat dan Sekretariat Teknikal CCOP bagi menyokong pembangunan rangka kerja mineral kritikal serantau. Bengkel yang dianjurkan oleh Negara Brunei Darussalam ini turut merangkumi Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek (Project Steering Committee [PSC]) untuk menilai kemajuan dan hala tuju pengurusan mineral yang kritikal.