Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kualiti air selamat: Lebih dua bilion penduduk dunia tidak punyai akses

Siaran Akhbar dan Foto: Kementerian Pembangunan

1_Kualiti air selamat Lebih dua bilion penduduk dunia tidak punyai akses.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, selaku ketua delegasi pada Sidang Kemuncak SIWW.

REPUBLIK SINGAPURA, Rabu, 11 Julai. – Lebih dua bilion orang di dunia hari ini tidak mempunyai akses pada kualiti air yang selamat untuk digunakan di rumah dan sebanyak 54 peratus daripada penduduk tersebut tinggal di kawasan bandar.

Untuk memperoleh alam sekitar, sosial dan ekonomi yang berdaya tahan, sumber air, perancangan guna tanah yang cekap dan persekitaran hendaklah diurus dengan teliti.

Bagi menangani cabaran perubahan iklim dan alam sekitar, negara-negara perlu merangka pelan strategik bagi jangka panjang, penyelesaian yang inovatif dan struktur urus tadbir dinamik yang mampu untuk membuat tindakan pada sebarang halangan yang dijangka.

Dianjurkan bersama oleh Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air dan Kementerian Pembangunan Negara, tiga acara, iaitu The World Cities Summit (WCS), Singapore International Water Week (SIWW) dan CleanEnviro Summit Singapore (CESS) diadakan bermula 8 hingga 12 Julai 2018, merupakan platform kepada lebih 150 pemimpin bandar, termasuk sektor awam, peniaga-peniaga eksekutif, pakar-pakar dan ahli akademik, berkumpul serta berbincang tentang bagaimana menangani isu-isu juga cabaran-cabaran yang dihadapi oleh setiap negara.

Mewakili Negara Brunei Darussalam pada Sidang Kemuncak berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, selaku ketua delegasi diiringi oleh Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Haji Zakaria serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Kerja Raya.

Pembukaan rasmi SIWW disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras Ekonomi dan Sosial Dasar, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Tharman Shanmugaratnam, pada 8 Julai 2018 lalu.

SIWW merupakan platform yang global bagi memberi peluang peserta-peserta untuk berkongsi dan mewujudkan penyelesaian air yang berinovatif. Acara yang diadakan setiap dua tahun ini mengumpulkan pihak-pihak yang berkepentingan dalam kalangan industri air secara global untuk berkongsi amalan terbaik dan teknologi terkini.

Pada majlis perasmian tersebut, ucaptama disampaikan oleh Perdana Menteri Sri Lanka, Tuan Yang Terutama Ranil Wickremesinghe, yang mana turut mengongsikan pandangan, perkembangan semasa dan penyelesaian mengenai pembangunan bandar, pengurusan air serta perlindungan pada alam sekitar ke arah kehidupan yang mampan pada masa hadapan.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan juga menghadiri Lee Kuan Yew World City Prize, Water Prize Lectures dan The Environment & Water Leaders Forum.

Penceramah-penceramah terdiri daripada pemimpin-pemimpin, pakar-pakar dari agensi kerajaan, ahli-ahli akademik, ahli-ahli perniagaan dan organisasi-organisasi antarabangsa, termasuk Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad, yang mengongsikan pandangan terhadap asas dari segi ekonomi dan bagaimana untuk meningkatkan sumber yang cekap serta model ekonomi yang mampu menyokong matlamat secara global seperti yang digariskan dalam The Paris Agreement pada perubahan iklim yang mampu melindungi masa hadapan yang mampan.

Pada sebelah petang, 8 Julai 2018, Yang Berhormat Menteri Pembangunan dijemput untuk menghadiri Majlis yang berprestij, iaitu Penyampaian Lee Kuan Yew Water Prize, yang mana juga dihadiri oleh Presiden Republik Singapura, Puan Yang Terutama Puan Halimah Yacob, selaku tetamu kehormat majlis.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan berserta delegasi turut menghadiri The Water Leaders Summit (WLS) dan berpeluang berkongsi pandangan, isu-isu dan perkembangan semasa serta penyelesaian mengenai pengurusan air dan sanitasi bersama perwakilan ketua-ketua bandar serta negara.

Ucaptama bagi WLS disampaikan oleh Setiausaha Agong Ke-8, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Tuan Yang Terutama Ban Ki-moon.

Sepanjang SIWW berlangsung, Yang Berhormat Menteri Pembangunan berserta delegasi berpeluang melawat pameran-pameran berkaitan air oleh lebih 100 peserta daripada lebih 20 negara yang mempamerkan produk, teknologi dan penyelasaian terhadap industri air serta alam sekitar yang mampan.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments