Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kukuhkan komitmen pengawalan jerebu merentas sempadan

Siaran Akhbar dan Foto: Kementerian Pembangunan

2_COP-14 (2018).jpg

PERSIDANGAN dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Kementerian Pembangunan, Yang Mulia Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

MYANMAR, Sabtu, 6 Oktober. – Menteri-menteri yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, mengenai tanah, kebakaran hutan dan jerebu dari Negara-negara Ahli ASEAN (ASEAN Member States - AMS) mengadakan Persidangan Ke-14 Ahli-ahli Parti kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan pada 5 Oktober 2018 di Nay Pyi Taw, Myanmar.

Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Kementerian Pembangunan, Yang Mulia Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abd. Razak dan pegawai-pegawai dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan dan Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Myanmar.

1_COP-14 (2018).jpg

PERSIDANGAN dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Kementerian Pembangunan, Yang Mulia Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abd. Razak dan pegawai-pegawai dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan.

Pada persidangan tersebut, antara yang dibincangkan ialah penilaian semula pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution - AATHP) dan mengukuhkan komitmen mereka melalui usaha nasional dan kerjasama serantau untuk melaksanakan AATHP sepenuhnya secara berkesan dan Peta Jalan mengenai Kerjasama ASEAN ke arah Pengawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan dengan Tatacara Pelaksanaan untuk mencapai ASEAN Bebas Jerebu menjelang tahun 2020.

Persidangan juga menyatakan hasil kajian dan tinjauan terkini Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASEAN Specialised Meteorological Centre - ASMC) mengenai cuaca dan keadaan asap jerebu bagi rantau ASEAN. Menteri-menteri mengambil maklum kemas kini dari ASMC, di mana model dari pusat-pusat kaji cuaca utama meramalkan 70% kemungkinan keadaan El Nino yang lemah, yang berkembang menjelang akhir tahun ini, sementara keadaan semasa kekal neutral (bukan El Nino atau La Nina).

Menteri-menteri juga dikemas kini pada usaha-usaha berterusan ASMC dalam mengukuhkan pemantauan cuaca dan jerebu serta kemampuan ramalan dengan memanfaatkan sistem permodelan canggih dan teknologi satelit terkini. Menteri-menteri mengambil maklum dengan penghargaan ke atas inisiatif ASMC dalam Program Pembangunan Keupayaan Serantau lima tahun yang bertujuan untuk memberikan manfaat kepada AMS melalui perkongsian pengetahuan teknikal dan kemahiran dalam pemantauan jerebu dan ramalan cuaca serta iklim.

Ahli-ahli Persidangan menyambut baik kemajuan yang dicapai pada tahun kedua pelaksanaan Peta Jalan mengenai Kerjasama ASEAN ke arah Pengawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan dengan Tatacara Perlaksanaan. Menteri-menteri mengalu-alukan pelaksanaan penelitian jangka pertengahan dan evaluasi bagi pelaksanaan Peta Jalan yang akan dibentangkan pada Mesyuarat yang akan datang dengan tujuan untuk meneliti kemajuan dan mengekalkan momentum dalam memastikan penambahbaikan bagi mencapai visi bebas jerebu ASEAN menjelang 2020.

Ahli-ahli Persidangan bersetuju untuk bertemu lagi pada tahun 2019 di Kemboja pada kesempatan Mesyuarat Persidangan Ke-15 Ahli-ahli Parti kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (15th Meeting of the Conference of the Parties to the ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution - COP-15) yang akan diadakan bersamaan dengan Mesyuarat Ke-15 Menteri-menteri ASEAN mengenai Alam Sekitar.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments