Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Sambutan Hari Habitat Sedunia 2020

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Sambutan Hari Habitat Sedunia 2020.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa hadir di majlis sambutan sempena Hari Habitat Sedunia 2020.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 Oktober. – Hari Habitat Sedunia jatuh pada hari Isnin pertama bulan Oktober setiap tahun dan pada tahun ini sambutannya jatuh pada 5 Oktober 2020. Bertemakan "Housing for All: A Better Urban Future", tema yang dipilih oleh UN-Habitat ini adalah bertepatan dengan pembangunan negara yang kini menuju ke arah Wawasan Negara 2035 yang turut membawa maksud kawasan perumahan perlu mengambil langkah-langkah yang holistik bagi menyediakan kualiti kehidupan rakyat yang lebih baik dengan penyediaan kemudahan awam yang mencukupi bagi mencapai pembangunan negara yang mampan.

Berikutan dengan situasi pandemik COVID-19 pada ketika ini, rumah kediaman menjadi tempat perlindungan yang selamat bagi membendung penularan virus berkenaan. Individu boleh berehat di rumah jika merasa kurang sihat bagi mencegah orang lain daripada dijangkiti dan terdapat juga individu yang diberikan Notis Pengasingan Diri dengan tidak dibenarkan meninggalkan rumah masing-masing. Tanpa rumah kediaman yang selesa dan bersesuaian, ia akan menyukarkan lagi usaha pencegahan ini.

Sehubungan itu, seluruh lapisan masyarakat juga seharusnya bersama-sama berperanan dalam menjaga keselamatan, kebersihan dan keindahan kawasan perumahan, termasuklah menjaga prasarana dan juga kemudahan-kemudahan awam yang telah disediakan oleh pihak kerajaan bagi menjamin kesejahteraan dan meningkatkan kualiti kehidupan penduduk setempat.

Sempena memperingati Sambutan Hari Habitat Sedunia pada tahun ini, Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan telah mengadakan Majlis Sembahyang Asar Berjemaah, Membaca Ratib Al-Attas dan Doa Kesyukuran bertempat di Surau Jabatan Kemajuan Perumahan.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria; Ketua-Ketua Jabatan, serta para pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pembangunan dan Jabatan Kemajuan Perumahan.

2_Sambutan Hari Habitat Sedunia 2020.jpg

3_Sambutan Hari Habitat Sedunia 2020.jpg

ANTARA Ketua-Ketua Jabatan, para pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pembangunan dan Jabatan Kemajuan Perumahan yang hadir.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan.

Attachments