Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Penglibatan belia menangani isu air diketengahkan di Asia-Pacific Water Summit

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Penglibatan belia menangani isu air diketengahkan di Asia-Pacific Water Summit.jpeg

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Maharaja Naruhito memberikan ucaptama Baginda di 4th Asia-Pacific Water Summit yang diadakan di Kumamoto, Jepun.

KUMAMOTO, JEPUN, Ahad, 24 April. – Negara Brunei Darussalam telah diberikan penghormatan dan peluang untuk turut serta dan mengongsikan usaha-usaha ke arah menangani isu air di samping mempelajari menerusi perkongsian maklumat dan pengalaman bersama negara-negara sahabat di 4th Asia-Pacific Water Summit (4th APWS) yang diadakan baru-baru ini di Bandar Kumamoto, Kumamoto, Jepun.

Sidang kemuncak tersebut dimulakan dengan Upacara Pembukaan rasmi dan Mesyuarat Peringkat Kemuncak pada 23 April 2022 yang dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Naruhito.

Dalam ucaptama Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Naruhito telah berkenan menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih atas kehadiran Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan, Menteri-Menteri dan Pegawai-Pegawai Kanan ke sidang kemuncak berkenaan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia meluahkan keperihatinan Baginda serta visi kerajaan Jepun dalam membina masyarakat yang berdaya tahan menerusi tindakan terhadap isu air serta sumbangan yang dapat diberikan oleh rantau Asia-Pasifik khususnya Kerajaan Jepun dalam menerajui dunia menghadapi cabaran-cabaran yang berkaitan dengan air.

Baginda seterusnya bertitah menekankan peranan setiap peringkat masyarakat terutamanya para belia, dimana Baginda penuh yakin dan menyokong keterlibatan mereka sebagai pihak yang berperanan utama dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Baginda berharap semua pihak akan dapat mempelajari dan berkongsi pengalaman antara satu sama lain tanpa mengira faktor umur dan jantina bagi kelangsungan generasi akan datang, dan seterusnya menyeru sokongan setiap negara ahli bagi pemerkasaan golongan belia.

Susulan daripada Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Naruhito ialah ucapan pembukaan daripada Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Fumio Kishida, dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tuan Yang Terutama Antonio Guterras.

2_Penglibatan belia menangani isu air diketengahkan di Asia-Pacific Water Summit.jpeg

UCAPAN pembukaan daripada Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Fumio Kishida.

Antara perkara utama yang dibentangkan dalam ucapan tersebut adalah keperluan untuk mempercepatkan tindakan-tindakan bagi menangani isu air sebagai salah satu penyelesaian kritikal untuk dilaksanakan oleh setiap negara ahli.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga memaklumkan mengenai sokongan penuh pertubuhan tersebut dan memandang kehadapan terhadap apa juga yang dapat disumbangkan oleh rantau Asia-Pasifik sebagai masyarakat yang bersatu dalam menangani isu air global.

Mereka juga menerima baik dan mengharapkan hasil yang menggalakkan daripada penglibatan pelbagai peringkat masyarakat termasuk belia dalam mencapai matlamat SDG.

Acara kemudian diteruskan dengan ucapan-ucapan daripada Ketua-Ketua Negara ahli yang juga telah menekankan kepentingan air bagi pembangunan yang mampan serta ketahanan di masa hadapan, termasuklah isu yang paling utama iaitu berhubung dengan sumber dan pemeliharaan air.

Majlis Pembukaan dan Mesyuarat Peringkat Kemuncak diakhiri dengan perakuan semua ahli terhadap Deklarasi Kumamoto yang antara lainnya menekankan komitmen setiap ahli dalam melaksanakan transformasi kepada masyarakat berorientasikan kualiti yang resilien, berdaya tahan dan inklusif dengan mengambil kira pelaburan kepada perkembangan urus tadbir, menutup jurang kewangan atau pembiayaan, serta penekanan kepada kepentingan komuniti sains dan teknologi.

Acara dua hari tersebut dihadiri oleh Ketua-Ketua Negara ahli, Kerajaan, Menteri-Menteri serta pegawai-pegawai kerajaan peringkat tinggi serantau, Ketua-Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan organisasi antarabangsa, institusi penyelidikan, NGO, pakar-pakar dan pengamal-pengamal berkaitan.

Selain itu, sidang kemuncak berkenaan juga diisikan dengan beberapa acara perkongsian menerusi 'thematic sessions', 'special island session', 'integrated session', pameran dan simposium yang melibatkan secara umumnya pembentangan, perbincangan dan maklumat berkaitan dengan isu air serta inisiatif global daripada perwakilan, pakar dan pembentang lainnya.

Sepertimana yang ditekankan menerusi tema "Water for Sustainable Development – Best Practices and the Next Generation", sesi 'integrated session' menfokuskan kepada tiga tajuk utama berkaitan dengan Urus Tadbir, Kewangan / Dana, dan Sains dan Teknologi, khususnya yang berkaitan dengan trend antarabangsa dan serantau susulan daripada 3rd Asia-Pacific Water Summit yang diadakan di Yangon, Myanmar pada tahun 2017.

Sesi tematik dibahagikan kepada sembilan sesi utama yang dibukakan kepada semua delegasi dan peserta. Sesi tematik tersebut mendedahkan peserta-peserta kepada beberapa sesi pembentangan dalam tajuk-tajuk yang berbeza mengikut sesi masing-masing yang merangkumi Air dan Bencana / Perubahan Iklim; Bekalan Air; Air dan Alam Sekitar daripada Sumber ke Air Laut; Air dan Kemiskinan / Jantina; Air dan Sanitasi / Pengurusan Air Sisa; Kepimpinan Belia dan Inovasi Belia; Air dan Makanan; Air, Budaya dan Keamanan; serta Kitaran Air termasuk Air Bawah Tanah.

Sidang Kemuncak berkenaan berakhir dengan Majlis Penutup yang telah diadakan pada 24 April 2022. Majlis tersebut dimulai dengan rumusan hasil daripada sesi-sesi tematik dan keseluruhan dapatan daripada ketiga-tiga sesi 'integrated session' yang telah berhasil menyelaraskan kedudukan Sidang Kemuncak kepada empat fokus utama iaitu: Ke Arah Masyarakat yang Berdaya Tahan; Ke Arah Masyarakat yang Resilien; Ke Arah Masyarakat yang Inklusif; dan Ke Arah UN 2023 Water Conference and Beyond.

Majlis penutup kemudian disusuli dengan rumusan Pengerusi 4th Asia-Pacific Water Summit dan upacara penyerahan jawatan Pengerusi dan diselajurkan dengan ikrar daripada Youth on Water Action.

Ini menunjukkan komitmen rantau ini dalam menekankan kepentingan dan penglibatan belia sebagai duta masa hadapan dalam mencapai era baru yang lebih berdaya tahan, resilien dan inklusif khususnya menerusi tindakan terhadap pengurusan air.

Majlis diakhiri dengan ucapan penutup daripada Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan, Tuan Yang Terutama Tetsuo Saito.

Tuan Yang Terutama telah merumuskan secara ringkas pencapaian sidang kemuncak dalam menerima-pakai Deklarasi Kumamoto serta ketiga-tiga fokus utama sidang kemuncak iaitu Urus Tadbir, Dana/Kewangan, serta Sains dan Teknologi.

Beliau juga mengalu-alukan penyertaan negara-negara ahli dan rakan untuk menghadiri Second International High-Level Conference on the International Decade for Action – "Water for Sustainable Development" yang akan diadakan di Dushanbe, Tajikistan pada 6 hingga 9 Jun 2022 serta The 2023 United Nations Water Conference yang akan diadakan di New York, Amerika Syarikat pada 22 hingga 24 Mac 2023.

Attachments