Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Doa Kesyukuran sempena Jubli Emas Jabatan Perancang Bandar dan Desa
Siaran Akhbar: Jabatan Perancang Bandar dan Desa

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 November. – Kepentingan menghormati hak berjiran dalam merancang atau menyelaras kemajuan melalui pematuhan undang undang dan piawaian perancangan yang bertujuan untuk mewujudkan satu persekitaran yang kondusif bagi menjana keharmonian hidup bermasyarakat merupakan antara inti pati Ceramah Khas pada Majlis Doa Kesyukuran bersempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Penubuhan Jabatan Perancang Bandar dan Desa yang diadakan di Masjid Ash-Shaliheen, Jabatan Perdana Menteri, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Turut hadir, Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd. Yaakub dan Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat Dan Undang-Undang) Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh.

Juga hadir, Ahli-ahli Komiti di bawah Autoriti Perancang, pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta para pegawai dan kakitangan dan mantan warga Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Aturcara majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah dan seterusnya diisikan dengan Ceramah Khas bertajuk 'Menjaga Kesejahteraan Hidup Berjiran melalui Perancangan Guna Tanah dan Kemajuan yang teratur' yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yusof bin Haji Abd. Majid.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan.

Attachments