Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Menyalurkan pendidikan profesional berterusan penilai, ejen harta tanah

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

5_Menyalurkan pendidikan profesional berterusan penilai, ejen harta tanah.JPG 6_Menyalurkan pendidikan profesional berterusan penilai, ejen harta tanah.JPG

SETIAUSAHA Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pengerusi BoVEA menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta yang berjaya menamatkan Kursus Real Estate Practices Part 1 and 2.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 Disember. – Seramai 37 peserta yang berdaftar sebagai penilai dan ejen harta tanah berjaya menamatkan Kursus Real Estate Practices Part 1 and 2 anjuran bersama Lembaga Penilai dan Ejen Harta Tanah (Board of Valuers and Estate Agents – BoVEA) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), dengan sokongan AVA Brunei Chapter yang diadakan selama enam hari pada bulan September lalu.

Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan, Sijil Pencapaian dan Sijil Penyertaan kepada Penyampai Taklimat, Peserta Kursus dan Sukarelawan bagi Kursus Real Estate Practices Part 1 and 2 diadakan pagi tadi di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Latihan dan Kemahiran Kerja, Kementerian Pembangunan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil-sijil ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pengerusi BoVEA.

1_Menyalurkan pendidikan profesional berterusan penilai, ejen harta tanah.JPG

SETIAUSAHA Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan semasa memberikan ucapan.

Dalam ucapannya, Dayang Dr. Nor Imtihan melahirkan keyakinan, melalui kursus pendek ini dapat menyalurkan pendidikan profesional berterusan ('continuing professional education') kepada para penilai dan ejen harta tanah berdaftar serta para pekerja yang berkhidmat di bawah penjalan amalan yang diiktiraf.

“Saya percaya melalui kursus ini, ia memberi manfaat dan peluang bagi meningkatkan pengetahuan dan kemampuan diri ('upskilling') serta kemajuan perniagaan ('reskilling') dan mengukuhkan jalinan hubungan baik antara 'industry true players' dalam bidang persekitaran industri harta tanah yang kondusif dan berdaya tahan," jelasnya.

Kementerian Pembangunan tambah Dr. Nor Imtihan, juga menaruh kepercayaan kepada para penilai dan ejen harta tanah agar sentiasa peka dengan perundangan yang berkuatkuasa di negara ini, bersikap jujur dan amanah dalam pekerjaan dan perniagaan, memahami keadaan sosiobudaya kehidupan masyarakat kitani dengan bijaksana, berusaha untuk meningkatkan pengalaman dengan pendidikan yang relevan dan memantapkan tahap disiplin dan etika masing-masing sebagai seorang profesional dan orang berdaftar pada setiap masa dan keadaan.

Ini ujar beliau, setentunya menambah kepercayaan orang ramai terhadap mutu perkhidmatan yang dijalankan oleh profesional Penilai dan Ejen Harta Tanah berdaftar.

7_Menyalurkan pendidikan profesional berterusan penilai, ejen harta tanah.JPG

ANTARA tetamu yang hadir.

Terdahulu, Pendaftar Penilai dan Ejen Harta Tanah, BoVEA, Pengiran Dr. Harizan bin Pengiran Haji Piut, selaku Pengerusi Majlis pula menjelaskan, kursus seperti ini diharapkan dapat menjadi sebagai satu wadah dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dan keupayaan setiap penilai dan agen harta tanah berdaftar khususnya dalam memberikan perkhidmatan kepada orang awam di samping, dapat meningkatkan kredibiliti setiap penilai dan ejen harta tanah dari sudut teknikal dan profesional sebanding dengan amalan terbaik bukan sahaja serantau, malah juga antarabangsa.

“Kita sedia maklum bahawa, bidang Penilai dan Ejen Harta Tanah di negara ini masih lagi dalam peringkat 'development stage' yang semakin progresif, dan ini memerlukan pemahaman yang lebih meluas dan mendalam khususnya kepada penjalan amalan, pihak-pihak berkepentingan dan juga masyarakat umum secara amnya bagi memastikan praktis yang dilaksanakan adalah adil saksama dan tiada salah laku pada setiap peringkat bagi kemanfaatan semua," ujarnya menambah.

Majlis juga menyaksikan tayangan klip video sepanjang kursus dijalankan dan seterusnya sesi bergambar ramai.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments