Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Beriga Akta Hak Milik Strata

Oleh: Salawati Haji Yahya | Foto: Azrol Azmi

P7-1A_9217_XL.jpg

Datin Hajah Zainon melancarkan buku Piawaian dan Amalan Menaksir.

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 8 Februari. - Bagi mengukuhkan pengetahuan dan mengemaskini kakitangan terutama kakitangan baru mengenai Strata, Kanun Tanah (Strata) Bab 189, kelebihan dan prosedur dalaman antara unit, Jabatan Tanah telah mengadakan Jerayawara Pemberigaan Akta Hak Milik Strata yang berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.

Jerayawara berkenaan telah diisi dengan sesi-sesi taklimat dan diselajurkan dengan pelancaran buku Piawaian dan Amalan Menaksir oleh Pesuruhjaya Tanah Datin Hajah Zainon binti Abang Haji Omarzuki selaku tetamu kehormat diikuti dengan taklimat ringkas mengenai buku tersebut oleh Ketua Bahagian Penaksir Jabatan Tanah, Hajah Maslina binti Haji Abu Bakar.

Taklimat-taklimat yang disampaikan menyentuh beberapa tajuk iaitu 'Pengenalan Akta Hak milik Strata', 'Proses Pecah Bahagi Bangunan Strata', 'Proses Pindah Milik Strata', 'Proses Pendaftaran Hak Milik Strata' dan 'Strata Corporation' yang telah disampaikan oleh pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Tanah.

Penguatkuasaan Kanun Tanah (Strata) Bab 189 telah bermula sejak 1 Julai 2009, walau bagaimanapun permohonan hak milik strata belum lagi popular berbanding dengan negara-negara jiran.

Besar kemungkinan ini adalah kerana orang ramai masih belum mendapat makluman jelas mengenai hak milik strata, kelebihannya dan bagaimana mereka mendapatkan hak milik strata.

P7-1B_9217.jpg

Antara yang hadir pada sesi taklimat mengenai Jerayawara Pemberigaan Akta Hak Milik Strata yang berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.

Antara lain untuk mengatasi masalah ini adalah dengan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kakitangan Jabatan Tanah melalui pemberigaan ini bagi membolehkan mereka menjadi lebih jelas untuk menangani sebarang pertanyaan orang awam dan lebih lancar memproses permohonan strata.

Setakat ini, dua lot tanah telah berjaya didaftarkan yang mana kedua-duanya terdiri daripada 12 unit dan 30 unit bagi setiap lot.

Dengan kejayaan pemberigaan jerayawara dan siri-siri pemberigaan berikutnya pada masa akan datang, ia diharapkan dapat membantu meningkatkan kadar permohonan yang mana pemberigaan ini ditujukan kepada pihak-pihak berkepentingan luar seperti pemilik lot tanah, pemaju, syarikat swasta dan sebagainya.

Sumber: Media Permata.

Attachments