Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksTimbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang)

INFODEPT02-09 (v.3).JPG

DAYANG ALDILA BINTI HAJI MOHAMAD SALLEH
TIMBALAN SETIAUSAHA TETAP (KORPORAT DAN UNDANG-UNDANG)
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN

Dayang Aldila dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang) di Kementerian Pembangunan, Negara Brunei Darussalam pada 5 April 2021.

Dayang Aldila memegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Undang-Undang dari Universiti Bristol, United Kingdom pada tahun 1993. Pada tahun 2009, beliau telah memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang Undang-Undang Jenayah, Kriminologi dan Keadilan Jenayah dari King’s College, Universiti London. Beliau merupakan ahli ‘London’s Inns of Court (Middle Temple)’, dan telah dipanggil ke Bar England dan Wales pada tahun 1994.

Beliau memulakan perkhidmatannya dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai Penasihat Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perdana Menteri pada September 1994. Beliau berkhidmat di Jabatan Peguam Negara selama 24 tahun dimana beliau memegang jawatan terakhirnya sebagai Pemangku Penolong Peguam Negara merangkap Ketua Divisyen Keadilan Jenayah sebelum dipindahkan ke Kementerian Pembangunan pada Ogos 2018.

Di Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila memegang jawatan sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan di Jabatan Kemajuan Perumahan sebelum ditempatkan di Divisyen Pelaburan dan Undang-Undang pada Oktober 2018.

Sebagai Timbalan Setiausaha Tetap, Dayang Aldila memainkan peranan utama dalam memberikan nasihat undang-undang, penyediaan dan penelitian kontrak/perjanjian, perjanjian antarabangsa (MoU dan perisytiharan), serta mentafsir perjanjian dan konvensyen, memberi nasihat dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan, menyediakan deraf awal undang-undang baru atau pindaan kepada undang-undang serta membantu merumuskan dan mengkaji semula dasar yang termasuk dalam bidang kuasa Kementerian Pembangunan.

Dari sudut korporat pula, Dayang Aldila adalah sebahagian daripada Eksekutif Kanan yang mengendalikan pentadbiran dan kewangan termasuk membuat penyerahan permohonan bajet kementerian untuk operasi tahunan; sumber manusia dan pembangunan, membangunkan dan memantau dasar-dasar serta rancangan strategik untuk meningkatkan pengurusan keseluruhan, kecekapan, dan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh kementerian.

Sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian beliau dalam perkhidmatan awam, Dayang Aldila telah dikurniakan beberapa pingat kehormatan negara iaitu Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B.) (2006), Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B.) (2012), Pingat Kerja Lama (P.K.L.) (2018) dan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B.) (2023).

Di waktu lapang, Dayang Aldila gemar melakukan senaman HIIT, berjalan pantas di taman persiaran dan bermain badminton.