Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Jalan Penghubung Jerudong-Tungku Dirasmikan

Tungku, Rabu, 4 Mac - Para pengguna jalan raya kini boleh berasa lega setelah siapnya laluan alternatif yang menghubungkan dua jalan utama iaitu Jalan Jerudong, Simpang 396 dan Jalan Rakyat Jati Rimba, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan jalan raya di kawasan tersebut.

Projek pembinaan jalan penghubung Jerudong - Tungku Fasa 2 sepanjang enam kilometer yang bernilai BND17.7 juta itu merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-10 (RKN10) dan kini dibuka kepada lalu lintas.

Majlis Pembukaan Rasmi projek tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman bertempat di tapak projek berdekatan dengan Pusing Keliling Jalan Tungku/Jalan Rakyat Jati Rimba.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan dalam temu bual bersama para media menjelaskan, jalan penghubung yang baru itu, selain daripada memudahkan pengguna jalan raya di kawasan tersebut dan melencongkan laluan daripada lebuh raya utama, juga akan dibukakan bagi pembangunan-pembangunan di kawasan tersebut.

Bagi perancangan seterusnya, jelas Yang Berhormat, pihaknya juga sedang melaksanakan beberapa lagi projek pembesaran jalan raya di beberapa kawasan yang tertentu bagi kemudahan pengguna jalan raya khusunya.

Projek tersebut mula dibina sejak tahun 2009 dengan melibatkan kerja-kerja tanah dan sistem saliran sebagai skop utama di dalam peringkat Fasa 1 secara kontrak berasingan yang menelan belanja sejumlah BND12.8 juta.

Sementara Fasa II pula melibatkan kerja-kerja pembinaan 'Road Pavement' yang mula dibina pada tahun 2013 dan dilaksanakan oleh pemborong tempatan Pro-Builder Sendirian Berhad.

Skop utama projek Fasa II ini termasuklah kerja-kerja penurapan asphalt sepanjang sembilan kilometer iaitu dari Simpang 396, Jalan Jerudong menuju ke Simpang 324 Jalan Penghubung Rimba Utara dan sebahagian Jalan Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah serta pemasangan lampu isyarat di persimpangan Jalan Selayun Jerudong / Simpang 396-93 untuk meningkatkan mutu keselamatan pengguna-pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

Dengan siapnya projek ini, adalah dijangkakan masalah kesesakan di jalan-jalan utama seperti Jalan Tutong dan Jalan Gadong akan berkurangan kerana sebahagian jumlah lalu lintas yang datangnya dari arah Lebuhraya Muara - Tutong melalui Jalan Jerudong akan menggunakan jalan pintas ini untuk menuju ke pusat bandar dan sekitarnya.

Jalan penghubung itu juga akan menghubungkan persimpangan utama iaitu persimpangan Jalan Gadong/Jalan Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah untuk menghala ke pusat bandar dan sekitarnya.

Dalam masa yang sama, Jalan Penghubung Jerudong - Tungku juga merupakan salah satu rangkaian jalan raya yang tidak kurang pentingnya dalam menyediakan akses dan laluan bagi pembangunan tanah di sekitar kawasan Katok dan Tungku seperti kawasan skim perumahan negara, perumahan am, sekolah-sekolah kerajaan dan pusat komersial, di samping pembangunan sosioekonomi sama ada yang sedang dalam pembinaan mahupun di peringkat perancangan.

Walau bagaimanapun, pembinaan Jalan Penghubung Jerudong - Tungku ini hanyalah merupakan sebahagian daripada beberapa rangkaian jalan raya yang terdapat di dalam perancangan Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kerja Raya untuk menyediakan rangkaian infrastruktur jalan raya yang efisien dan efektif bagi kelancaran pergerakan lalu lintas di kawasan utama di negara ini.

Beberapa projek rangkaian jalan raya juga dijangka akan dilaksanakan sebagai langkah berterusan untuk beberapa tahun mendatang sebagai kesinambungan program peningkatan rangkaian infrastruktur jalan raya di seluruh kawasan Daerah Brunei dan Muara.

Antara objektif projek tersebut termasuk bagi mempercepatkan perjalanan iaitu dengan menyediakan laluan pintas dari Jalan Jerudong dan sekitarnya untuk menuju ke Tungku dan sekitarnya, selain membuka peluang pembangunan sosioekonomi di kawasan terlibat, selain mendorong perancangan pembangunan infrastruktur dan lain-lain di kawasan terlibat. Kredit: Pelita Brunei.

Attachments