Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Tingkatkan kesedaran kebersihan

Oleh: Marlinawaty Hussin | Foto: Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

5_pelancaran_kempen_kesedarankebersihansenegara2017.jpg

PENASIHAT-PENASIHAT Bersama Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan ketika bergambar ramai bersama para penyumbang yang terdiri daripada pihak swasta.

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 1 Oktober. – Seluruh warga dan penduduk di negara ini perlu meningkatkan kesedaran akan kepentingan menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran negara dalam usaha mencapai hasrat Wawasan Brunei 2035 ke arah Kehidupan Rakyat yang Berkualiti Tinggi.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, dengan kerjasama Jawatankuasa-jawatankuasa Sektoral Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta hari ini mengadakan Kempen Kesedaran Kebersihan Senegara.

Kempen kesedaran kebersihan bertemakan 'Brunei Bersih dan Hijau' itu dilancarkan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara, sebagai salah satu aktiviti sokongan pada usaha pihak kerajaan untuk Program Bandarku Ceria Hari Tanpa Kereta.

Pelancaran kempen tersebut disempurnakan oleh Penasihat-penasihat Bersama Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan terdiri daripada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Acara dimulakan dengan pemotongan tali 'scroll banner' bagi menandakan pelancaran kempen berkenaan, yang kemudian diikuti dengan penyerahan tong-tong sampah kepada Penasihat-penasihat Bersama Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan daripada penyumbang-penyumbang yang terdiri daripada pihak swasta.

1_pelancaran_kempen_kesedarankebersihansenegara2017.jpg

KEMPEN kesedaran kebersihan bertemakan 'Brunei Bersih dan Hijau' dilancarkan di Taman Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, ibu negara, sebagai salah satu aktiviti sokongan pada usaha pihak kerajaan untuk Program Bandarku Ceria Hari Tanpa Kereta.

4_pelancaran_kempen_kesedarankebersihansenegara2017.jpg

PENYERAHAN tong-tong sampah kepada Penasihat-penasihat Bersama Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan daripada penyumbang yang terdiri dari pihak swasta.

Para penasihat bersama seterusnya melawat petak-petak pameran mengenai kesedaran dan pencapaian alam sekitar yang diadakan semasa majlis pelancaran tersebut.

Organisasi-organisasi sukarelawan yang menyertai aktiviti-aktiviti dan pameran berkenaan adalah Brunei Environment Youth Envoys, Beach Bunch, Green Brunei, Politeknik Brunei, penuntut-penuntut Discovery Year Universiti Brunei Darussalam (UBD), Belia Masjid Ash-Shaliheen dan UBD Shell Eco-Marathon.

Kempen tersebut diharap akan dapat menarik penyertaan semua rakyat dan penduduk di negara ini untuk sama-sama memelihara serta menjaga prasarana-prasarana juga kemudahan-kemudahan awam yang disediakan dan menghindarkan vandalisme agar seluruh negara akan sentiasa berada dalam keadaan bersih juga teratur.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments