Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Bakal jemaah haji Kementerian Pembangunan diraikan
Oleh:  Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman | Foto: Haji Masmaleh Haji Mohd. Ali | Khamis, 27 Ogos 2015

3637fa424afbe7f7b90df8462a27a505_XL.jpg
MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman menyampaikan sumbangan kepada seorang bakal jemaah haji dari kementerian berkenaan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Ogos. - Seramai 400 bakal jemaah haji dari negara ini akan menunaikan Rukun Islam Kelima pada musim haji tahun 1436 Hijrah/2015 Masihi ini yang mana bakal jemaah penerbangan pertama dijangka meninggalkan negara ini pada 30 Ogos ini, diikuti dengan penerbangan kedua pada 31 Ogos 2015.

Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, telah  mengadakan Majlis Doa Selamat bagi pegawai dan kakitangannya yang bakal menunaikan fardu haji tahun 1436 H/2015M, berlangsung di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan di sini.

Tahun ini, seramai 19 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya akan menunaikan ibadah haji.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.

270815_HJMAS1_PEMBANGUNAN.jpg
MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut.

Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Pembangunan juga menyampaikan sumbangan daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya kepada bakal-bakal jemaah haji berkenaan.

Majlis diserikan dengan ceramah bertajuk ‘Keutamaan Ibadah Haji’ yang disampaikan oleh Awang Haji Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.

270815_HJMAS4_PEMBANGUNAN.jpg
YANG Berhormat Menteri Pembangunan menyampaikan sumbangan kepada seorang bakal jemaah haji dari kementerian berkenaan.

Dalam ceramahnya, beliau antara lain menghuraikan tentang kewajipan dalam menunaikan ibadah haji bagi yang mampu mengerjakannya.

Majlis antaranya bertujuan untuk memohon keberkatan dan perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala agar bakal jemaah haji mendapat rahmat, perlindungan dan kesejahteraan semasa berada di Tanah Suci serta dipermudahkan segala urusan dan kembali dengan haji yang mabrur.

270815_HJMAS2_PEMBANGUNAN.jpg
CERAMAH Bertajuk 'Keutamaan Ibadah Haji' disampaikan oleh Awang Haji Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.

Turut hadir, Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Haji Muhammad Lufti bin Abdullah; Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Pengiran Kamis bin Pengiran Metamin, selaku Pengerusi majlis, ketua-ketua jabatan/divisyen/unit serta pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber: Pelita Brunei
Attachments