Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kementerian Pembangunan terus rancang, bina strategik infrastruktur

Siaran Akhbar dan Foto: Kementerian Pembangunan

8th World Water Forum, Brasilia, Brazil.1.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa berucap pada Forum Air Sedunia (World Water Forum) Kali Ke-8 di Brasilia, Brazil.

BRAZIL, BRASILIA, Rabu, 21 Mac. – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar antara lain menggariskan cabaran yang dihadapi oleh semua negara dalam memastikan keselamatan air untuk pertumbuhan sosio-ekonomi.

Adalah penting tambah Yang Berhormat, bagi negara untuk merancang dengan pandangan jauh atau 'foresights' secara strategik, bersedia menghadapi kepelbagaian iklim dan menggunakan teknologi dengan pembangunan kapasiti manusia untuk memastikan pertumbuhan negara yang berterusan.

Negara Brunei Darussalam adalah serupa dengan negara-negara lain, berhadapan dengan pempelbagaian ekonomi, keperluan untuk memenuhi permintaan air dari sektor pengguna air yang berbeza dan gaya hidup mewah. Kementerian Pembangunan terus merancang dan membina strategik infrastruktur yang perlu bagi menangani cabaran negara.

Yang Berhormat mengatakan hal tersebut ketika membentangkan ucapan National Statement bagi Negara Brunei Darussalam di Persidangan Peringkat Menteri sempena menghadiri Forum Air Sedunia (World Water Forum) Kali Ke-8 di Brasilia, Brazil atas undangan dari Menteri Alam Sekitar, Republik Persekutuan Brazil. World Water Forum Kali Ke-8 berlangsung selama enam hari daripada 18 hingga 23 Mac.

8th World Water Forum, Brasilia, Brazil.3.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar bersama delegasi dari Negara Brunei Darussalam yang menghadiri menghadiri Forum Air Sedunia (World Water Forum) Kali Ke-8 di Brasilia, Brazil.

Mengiringi Yang Berhormat, Menteri Pembangunan ialah , Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan.

Forum tersebut anjuran bersama Water World Council dan Brasilia City Council, Forum Air Sedunia merupakan acara terbesar dunia, diadakan sekali dalam setiap tiga tahun sejak tahun 1997 untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan air.

Antara lain objektif forum berkenaan untuk mempromosikan kesedaran, membina komitmen politik dan tindakan bersepadu mengenai isu-isu air yang kritikal di kesemua peringkat, untuk memudahkan pemuliharaan, perlindungan, pembangunan, perancangan, pengurusan dan penggunaan air dalam semua dimensi berdasarkan asas alam mampan untuk manfaat semua kehidupan.

Forum tersebut dirasmikan pada Isnin, 19 Mac 2018 oleh Presiden Republik Persekutuan Brazil yang dihadiri oleh 14 ketua negara.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan seterusnya menghadiri Perbincangan Roundtable Peringkat Menteri pada 19 Mac 2018, yang mana merupakan landasan bagi menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan dari negara-negara di seluruh dunia untuk membincangkan topik-topik khas berkaitan dengan air. Dalam Persidangan Roundtable bertajuk 'Water Security and Development', Yang Berhormat Menteri Pembangunan bertukar-tukar pendapat dan berkongsi pandangan mengenai perkara yang menghalang dalam pengurusan air yang mampan dan lebih cekap serta amalan terbaik pengurusan sumber air.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan rombongan juga menghadiri beberapa sesi-sesi khas dan 'thematic' yang menumpukan pada cabaran-cabaran air serta solusi, kisah kejayaan dan projek-projek yang dijalankan oleh organisasi serta institusi berdedikasi ke arah sasaran ke-6 dalam MDG, iaitu United Nation Millennium Development Goal on Water Security and Sanitation.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan juga mengambil bahagian dalam Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Penggubalan Ministerial Declaration untuk misi perkongsian air secara global, memberi penekanan pada usaha dan komitmen kerajaan, institusi, syarikat serta masyarakat awam ke arah pencapaian dari sasaran ke-6 dalam MSG.

Forum Air Sedunia ditubuhkan oleh World Water Council pada tahun 1996 dengan forum kali pertama diadakan pada bulan Mac tahun 1997 di Marrakech, Maghribi. Pada tahun ini, Forum Air Sedunia Kali Ke-8 menarik lebih 40,000 peserta dari seluruh dunia, dihadiri 14 ketua negara, lebih daripada 50 Menteri Sumber Air dan Pembangunan, pegawai-pegawai kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), ahli akademik, masyarakat madani, rakyat tempatan dan pelajar.

Buat pertama kali, Pelancaran United Nations World Water Development Report diadakan semasa Forum berlangsung di Brazil. Dokumen yang bertajuk "United Nations World Water Development Report (WWDR)", menunjukkan bagaimana solusi berdasarkan alam sekitar boleh menyumbang pada peningkatan kualiti dan bekalan air juga dalam pencegahan bencana alam.

Sepanjang forum, Yang Berhormat Menteri Pembangunan mengadakan Perjumpaan Sesi Dua Hala dengan Menteri Alam Sekitar Republik Persekutuan Brazil, Tuan Yang Terutama, José Sarney Filho, dan Ketua Delegasi Ministry of Economic Cooperation and Development, Jerman, Madam Daniela Krahl.

Forum itu menyediakan peluang bagi Kementerian Pembangunan untuk mempelajari mengenai perundangan serta urus tadbir sumber air dan dengan itu meningkatkan tahap dalam pengurusan sumber air serta infrastruktur. Ia juga memberikan peluang yang unik untuk meningkatkan pengetahuan mengenai isu-isu kritikal berkaitan dengan air juga mewujudkan kerjasama antarabangsa dengan pihak berkuasa kerajaan dan NGO.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments