Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Brunei-Republik Korea tandatangani kerjasama Projek Kajian Sanitasi

​Oleh:  Haniza Abdul Latif, Nurul Nadzirah Haji Mahadin | Foto: Hamzah Mohidin | Rabu, 02 September 2015

cd785339bc9971bc480b31a1e0df9028_XL1.jpg
HADIR selaku tetamu kehormat dalam Majlis Penandatanganan Memorandum Kerjasama (MoC) antara Kementerian Pembangunan dan SK Engineering & Construction Co. Ltd. ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 2 September. - Hubungan Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea khususnya dalam bidang pembangunan, dikukuhkan lagi dengan termeterainya Penandatanganan Memorandum Kerjasama (MoC) antara Kementerian Pembangunan dan SK Engineering & Construction Co.Ltd.

Majlis MoC tersebut telah berlangsung di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.

Menandatangani bagi wakil Kerajaan Negara Brunei Darussalam ialah Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Chua Pheng Keong dan disaksikan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah.

020915_HAMZAH3_MEMO.jpg
PENANDATANGANAN Memorandum Kerjasama disaksikan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah.

Sementara itu, mewakili bagi pihak Republik Korea ialah Ketua Pegawai Eksekutif SK Engineering & Construction Co.Ltd, Mr. Choi Kwang Chul dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Alam Sekitar Republik Korea, Tuan Yang Terutama Jeong Yeon-man.

SK Engineering & Construction Co.Ltd. merupakan sebuah syarikat dari Republik Korea dalam bidang alam sekitar untuk bekerjasama dalam projek ‘Kajian Pembangunan Infrastruktur Bagi Kemudahan Sanitasi di Negara Brunei Darussalam’ bagi tempoh dua tahun.

Dengan termeterainya penandatanganan tersebut, ia akan mengembangkan lagi kerjasama peluang-peluang pembangunan kemudahan sanitasi di negara ini dan di rantau ini secara amnya.

020915_HAMZAH1_MEMO.jpg
PERTUKARAN dokumen di antara Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Chua Pheng Keong dengan Ketua Pegawai Eksekutif SK Engineering & Construction Co. Ltd, Mr. Choi Kwang Chul.

Perjanjian kerjasama dua hala ini akan menggalakkan hubungan yang lebih erat antara kedua-dua buah negara khususnya bagi perancangan dan meningkatkan persekitaran fizikal.

Antara objektif perjanjian kerjasama ini ialah bagi menggalakkan lagi hubungan persahabatan yang lebih erat antara kedua-dua negara, selain itu untuk membangunkan dan meningkatkan kemudahan sanitasi di negara ini dengan melaksanakan kajian tentang kemudahan sanitasi di kawasan Lambak Kanan dan di Kampong Ayer.

020915_HAMZAH4_MEMO.jpg
MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi diberikan penerangan mengenai projek tersebut oleh Pengarah Saliran dan Pembetungan, Jabatan Kerja Raya, Dr. Norimtihan binti Haji Abdul Razak.

Kajian ini akan menjurus kepada konsep cadangan pembangunan bagi perkembangan, perbelanjaan, pembinaan, operasi, penyelenggaraan dan pengurusan kemudahan pembetungan dengan menggunakan Perkongsian Pendekatan Awam-Swasta (PPP) bagi Kerajaan Negara Brunei Darussalam yang perlu dipertimbangkan.

Dengan termeterainya kerjasama ini, kedua-dua buah negara dijangka akan dapat berkongsi maklumat dan bahan-bahan dalam bidang kebersihan dan pembetungan semasa pelaksanaan kajian yang boleh menyokong hasrat kedua-dua negara, melalui usaha-usaha kerjasama dan penyelarasan serantau, nasional dan tempatan serta aktiviti gotong-royong, mencapai matlamat pembangunan negara yang mampan bagi perlindungan dan pembaikan alam sekitar serta kesihatan dan kesejahteraan generasi masa kini dan masa depan.

020915_HAMZAH5_MEMO.jpg
MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bergambar ramai bersama wakil daripada SK Engineering & Construction Co. Ltd.

Selain itu, ia juga akan dapat membangun dan meningkatkan sistem kebersihan atau pembetungan di tapak yang sedia ada bagi perlindungan alam sekitar dan pembangunan lestari.

Di samping itu, ia juga diharap akan dapat membantu Kerajaan Negara Brunei Darussalam dengan menyediakan akses kepada pakar-pakar yang boleh membantu dalam membangunkan dan meningkatkan keupayaan kemudahan pembetungan, kebersihan, alam sekitar, saliran dan pantai.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Haji Muhammad Lutfi; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Shahrom bin Haji Suhaimi; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan membentuk jabatan di bawah Kementerian Pembangunan.

Sumber: Pelita Brunei.
Attachments