Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Awang Haji Md. Eddy Huzaimi dan Dayang Ratinah johan membaca Al-Quran

Berita dan Foto: Hernie Suliana Haji Othman

1 Sambutan Isra' dan Mikraj 1439 Hijrah.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menyampaikan hadiah dan Piala Iringan kepada johan qari Musabaqah Membaca Al-Quran Kementerian Pembangunan, Awang Haji Md. Eddy Huzaimi bin Haji Mat Yassin.

2 Sambutan Isra' dan Mikraj 1439 Hijrah.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menyampaikan hadiah dan Piala Iringan kepada johan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Kementerian Pembangunan, Dayang Ratinah binti Hidup.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 April. – Awang Haji Md. Eddy Huzaimi bin Haji Mat Yassin dari Jabatan Perkhidmatan Teknikal dan Dayang Ratinah binti Hidup mewakili Jabatan Ukur, masing-masing muncul johan dalam Kategori Qari dan Qariah pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan Di Bawahnya sempena Sambutan Israk dan Mikraj 1439 Hijrah 2018 Masihi.

Sementara itu naib johan dimenangi oleh Muhammad Khairul Hafizuddin bin Shamsuddin dan Dayang Hajah Aminah binti Haji Abdul Rahman dan tempat ketiga disandang oleh Haji Abdul Aziz bin Haji Momin dan Dayang Marjahwati binti Haji Maidin.

Majlis kelolaan bersama Jabatan Kemajuan dan Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya tersebut berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut hadir Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Pemangku Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Awang Haji Amer Hishamuddin bin POKAPDSS Haji Zakaria, selaku Pengerusi Majlis.

Seramai tiga qari dan qariah memperdengarkan bacaan masing-masing pada peringkat akhir, daripada jumlah 15 qari dan 14 qariah yang menyertai dan bertanding dalam peringkat saringan yang telah diadakan pada 2 April dan 3 April yang lalu.

Majlis diserikan dengan ceramah keugamaan yang disampaikan oleh Ustaz Dr. Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah, penceramah dari Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Selain untuk memperingati Sambutan Israk dan Mikraj, majlis juga bertujuan untuk menggalakkan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, khususnya dari Kementerian Pembangunan untuk mempelajari dan menguasai Al-Quran, untuk menjadikannya sebagai amalan harian dan bagi memperoleh berkat daripada Allah Subhanahu Wata'ala, serta mengeratkan hubungan silaturahim sesama warga kementerian.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments