Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Empat hari tanpa beg plastik bermula

Berita dan Foto: Aimi Sani

Hari Khamis Tanpa Beg Plastik_2.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa berucap dan seterusnya melancarkan Majlis Pelancaran Penambahan hari Khamis ke arah Setiap Hari Tanpa Beg Plastik bersempena dengan Hari Bumi 2018.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 19 April. – Kaji selidik yang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) telah mendapati bahawa penggunaan beg plastik di sebuah pasar raya di negara ini ialah 3,000 hingga 8,000 beg plastik pada setiap Sabtu dan Ahad.

Dari jumlah tersebut, kajian mendapati bahawa setiap pasar raya menggunakan di antara 144,000 hingga 393,600 beg-beg plastik setiap tahun hanya pada setiap Sabtu dan Ahad, yang mana dapatan ini tidak termasuk penggunaan beg plastik pada hari-hari biasa atau beg plastik yang digunakan di kedai-kedai runcit atau pasar malam dan gerai-gerai di seluruh negara.

Berucap pada Majlis Pelancaran Penambahan Hari Khamis sebagai Hari Tanpa Beg Plastik bertempat di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar seterusnya berkata, seperti yang kita sedia maklum bahawa bahan plastik adalah bahan yang tidak mudah reput, ianya akan kekal di tapak pelupusan pada jangka masa yang panjang.

Menurut Yang Berhormat, kajian juga telah menunjukkan bahawa 16 peratus dari jumlah yang dibuang di tapak pelupusan kita adalah terdiri daripada bahan plastik yang mana jika jumlah plastik yang dilupuskan ini berterusan atau meningkat, keperluan kawasan tanah pelupusan juga akan meningkat.

''Lebih membimbangkan lagi jika bahan plastik ini reput, ianya mengeluarkan partikel toksik yang boleh mencemarkan tanah atau sumber air di bawah permukaan tanah.

Jika ianya dibakar, akan mengeluarkan gas dioksin yang karsinogen iaitu satu bahan penyebab kanser,'' jelas Yang Berhormat.

Yang Berhormat berkata, tabiat setengah orang ramai, yang suka membuang bekas-bekas beg plastik dan sisa bahan plastik ke dalam sungai dan longkang-longkang dengan sewenang-wenangnya adalah sangat menyedihkan, walaupun banyak usaha-usaha yang telah dibuat oleh pihak-pihak berkenaan untuk mengatasi masalah ini, namun masih lagi terdapat sampah-sampah plastik dibuang di perairan sungai kita.

Usaha mengurangkan penggunaan beg plastik ini ujar Yang Berhormat, adalah bagi menyahut titah dan menjunjung hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melihat negara kita bersih dari sampah di sepanjang masa.

Kementerian Pembangunan terang Yang Berhormat, bersedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk NGOs, untuk menjayakan apa jua inisiatif ke arah menangani isu-isu kebersihan dan menjaga alam sekitar, serta akan bertindak secara bersepadu dalam menangani pencemaran dari plastik.

Yang Berhormat seterusnya percaya dan yakin, dengan adanya sokongan padu dari semua golongan masyarakat di negara ini, penambahan hari Khamis yang menjadikan empat hari dalam seminggu tanpa beg plastik, bukan sahaja mampu mewujudkan golongan peniaga yang lebih bertanggungjawab ke atas pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar negara kita, tetapi ianya juga akan dapat dijadikan contoh kepada masyarakat keseluruhannya.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments