Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Jayakan inisiatif kurangkan pencemaran plastik

Siaran Akhbar dan Foto: Kementerian Pembangunan

1_Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik KB dan Tutong.jpg

PEMANGKU Pengarah JASTRe, Dayang Martinah binti Haji Tamit mengagihkan beg-beg guna semula kepada pembeli di salah sebuah pasar raya.

BELAIT, Khamis, 17 Mei. – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) telah mengedarkan beg guna semula dan poster pelancaran penambahan hari Khamis ke arah Setiap Hari Tanpa Beg Plastik di gedung-gedung perniagaan terpilih di Daerah Belait dan Tutong pada 16 Mei 2018.

Rombongan dari JASTRe berserta ahli-ahli 'Environment Youth Envoy' (EYE) yang diketuai oleh Pemangku Pengarah, Dayang Martinah binti Haji Tamit, melawat Pasaraya Jaya Hypermart (KB Sentral), Soon Lee Megamart, Pandan 7 dan Supa Save, Seria di Daerah Belait bagi pembahagian beg-beg guna semula kepada pembeli dan poster pelancaran kepada gedung berkenaan.

Manakala di Daerah Tutong, rombongan seterusnya mengunjungi Pasaraya Sim Kim Huat, Soon Lee Megamart, Pasaraya Teguhraya (Tutong Central Mall) dan Pasaraya Hua Ho.

Slogan untuk inisiatif tersebut, 'It takes a nation to end plastic pollution' menekankan pentingnya penglibatan kesemua pihak untuk menjayakan usaha pengurangan pencemaran plastik, sepertimana yang disarankan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar pada Majlis Pelancaran Penambahan Hari Khamis ke Arah Setiap Hari Tanpa Beg Plastik pada 19 April 2018.

''Kejayaan dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam ini bebas dari pencemaran plastik, bergantung sepenuhnya dari tindakan semua pihak, terutama sekali pihak pasar raya dan gedung-gedung perniagaan, pemilik kedai runcit dan orang ramai yang jadi pengguna beg plastik.

Sekiranya tiada kesedaran di kalangan kita semua mengenai pencemaran dari beg plastik, segala perancangan yang diungkayahkan oleh pihak kerajaan tidak akan berjaya sepenuhnya,'' tegas Yang Berhormat di majlis tersebut.

Penambahan hari-hari lain akan dibuat secara berperingkat-peringkat, iaitu penambahan hari Rabu pada bulan Julai 2018, Selasa pada Oktober 2018 dan Isnin untuk ditambah pada Disember 2018, bagi merealisasikan matlamat dan dasar kerajaan ke arah Setiap Hari Tanpa Beg Plastik Sehingga bermula 1 Januari 2019.

Pada permulaannya, penambahan ini akan melibatkan kedai-kedai dan gedung-gedung perniagaan yang sedia ada tersenarai di bawah Inisiatif Hujung Minggu Tanpa Beg Plastik, akan tetapi, ia akan diperluaskan dan dilaratkan lagi kepada pengguna beg plastik yang seperti kedai-kedai runcit, restoran dan gerai-gerai makanan di seluruh negara.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments