Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

KHEU dan KUPU SB johan peraduan pintu gerbang
Oleh: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman, Hajah Norizan Mahal | Foto: Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali | Rabu, 02 September 2015

9510c1acea39329865d88b734c0a88b2_XL1.jpg
SETIAUSAHA Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah semasa menyampaikan trofi kepada wakil Kementerian Hal Ehwal Ugama yang dinobatkan sebagai johan Peraduan Pintu-Pintu Gerbang bagi Kategori Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 2 September. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mempertahankan kejuaraan masing-masing setelah dinobatkan johan bagi Kategori Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan serta Kategori Sekolah-Sekolah dan Maktab-Maktab dalam Peraduan Pintu-Pintu Gerbang Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-69 Tahun 2015.

Majlis Penyampaian Hadiah bagi pemenang-pemenang peraduan disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah, berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Berakas.

Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri masing-masing menyandang naib juara dan tempat ketiga bagi Kategori Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan, manakala Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien dan Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam pula masing-masing memenangi bagi Kategori Sekolah-Sekolah dan Maktab-Maktab.

Juara bagi kedua-dua kategori berkenaan masing-masing menerima hadiah wang tunai BND800 berserta piala dan sijil, sementara naib juara membawa pulang wang tunai BND500, piala dan sijil, manakala tempat ketiga menerima hadiah  wang tunai BND300, piala dan juga sijil.

020915_AMIRUL3_JKR.jpg
SETIAUSAHA Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah semasa menyampaikan trofi kepada salah seorang wakil KUPU SB yang dinobatkan sebagai johan Peraduan Pintu-Pintu Gerbang bagi Kategori Sekolah-Sekolah dan Maktab-Maktab.

Penyertaan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan dan Kategori Maktab-Maktab dan Sekolah-Sekolah termasuklah institusi-institusi tinggi di Daerah Brunei dan Muara.

Penyertaan tahun ini adalah menggalakkan yang mana seramai 10 penyertaan daripada Kategori Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan, manakala lima daripada kategori Maktab-Maktab dan Sekolah-Sekolah yang menjadikan jumlah kesemuanya seramai 15 penyertaan.

Penghakiman pada tahun ini telah diadakan pada hari Rabu, malam Khamis, 19 Ogos 2015 yang lalu.

Sudut penghakiman telah dilaksanakan berdasarkan enam kategori iaitu reka bentuk pintu gerbang mengikut ciri-ciri yang telah ditetapkan, kesiapan pintu gerbang seperti yang telah ditetapkan, struktur pintu gerbang dari segi keselamatan dan penjimatan penggunaan tenaga elektrik, gubahan warna pintu gerbang dan susunan lampu cucul yang menarik, pandangan dan daya tarikan pada waktu siang dan pada waktu malam.

Peraduan yang diadakan setiap tahun sempena menjelangnya Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ini antara lain bertujuan untuk memeriahkan serta menyemarakkan lagi suasana sambutan perayaan tahun ini.

Sumber: Pelita Brunei.
Attachments