Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Usaha ditingkat, cegah jerebu rentas sempadan

Siaran Akhbar dan Foto: Jabatan, Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan

12th MSC.jpg

MENTERI Pembangunan bergambar ramai bersama menteri-menteri pada MSC ke-20.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Jun. – Mesyuarat Ke-20 Jawatankuasa Pandu Peringkat Menteri Sub-Wilayah mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (20th MSC) diadakan pada 1 Jun 2018 di Bangkok, Thailand dan dihadiri oleh Menteri-menteri / perwakilan-perwakilan yang bertanggungjawab ke atas alam sekitar serta kebakaran hutan dan lahan juga jerebu dari Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand serta Setiausaha Agung ASEAN.

Sebelum mesyuarat tersebut diadakan, Mesyuarat Ke-20 Kumpulan Kerja Teknikal mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (20th TWG).

Brunei Darussalam diwakili oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Pemangku Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abd. Razak dan pegawai-pegawai dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Menteri-menteri MSC mengambil maklum mengenai laporan ramalan cuaca dari Pusat Khas Meteorologi ASEAN (ASMC) yang melaporkan bahawa musim kering di rantau ASEAN selatan dijangka berlaku di antara Jun dan Oktober 2018, dan tiada kejadian El Nino atau La-Nina diramalkan.

Pusat tersebut juga melaporkan bahawa, keadaan kering sekali-sekala sepanjang musim ini boleh mengakibatkan peningkatan risiko aktiviti titik-panas di rantau ini. Ahli MSC berikrar untuk terus berjaga-jaga dan memantau serta meningkatkan usaha pencegahan jerebu mereka untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya asap jerebu merentas sempadan di sepanjang tempoh cuaca kering.

Menteri-menteri mengambil maklum terhadap usaha-usaha berterusan pusat ASMC dalam meningkatkan pemantauan dan memberikan amaran awal terhadap jerebu merentas sempadan, seterusnya menghargai inisiatif ASMC atas Program Membangun Keupayaan Serantau lima (5) tahun yang baharu, yang mana akan memanfaatkan Negara Ahli ASEAN (AMS) melalui perkongsian pengetahuan dan kemahiran teknikal dalam pemantauan jerebu dan cuaca dan ramalan cuaca.

Menteri-menteri menyatakan penghargaan atas pelbagai inisiatif dan tindakan oleh negara-negara MSC bagi menangani pencemaran jerebu di rantau ini. Negara-negara MSC mengesahkan kesediaan mereka untuk memberi bantuan seperti penggunaan sumber-sumber teknikal untuk membanteras kebakaran bagi situasi tindak balas kecemasan, jika diminta, dan untuk bekerjasama dalam kalangan negara-negara MSC dengan kerjasama serta koordinasi yang lebih baik untuk mengurangkan kebakaran hutan dan lahan, jika perlu.

MSC juga merujuk pada komitmen dan bimbingan Pemimpin ASEAN di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-31 yang diadakan pada 13 November 2017 di Manila, Filipina serta Sidang Kemuncak ASEAN Ke-32 yang diadakan pada 28 April 2018 di Singapura, dalam menuju ke arah kerjasama serantau terhadap pengawalan pencemaran jerebu merentas sempadan.

Selain itu, Menteri-menteri mengulangi kenyataan komitmen mereka untuk melaksanakan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) secara menyeluruh serta berkesan dan Peta Jalan Mengenai Kerjasama ASEAN ke arah Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan dengan Tatacara Pelaksanaan (Peta Jalan) untuk mencapai ASEAN Bebas Jerebu menjelang tahun 2020.

Mereka juga mengalu-alukan kemajuan ke arah pemeteraian Perjanjian Penubuhan dan Perjanjian negara hos bagi Pusat Penyelarasan ASEAN untuk Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ACC THPC) di Indonesia serta menantikan pelaksanaan sepenuhnya ACC THPC berkenaan.

Pada masa yang sama, para menteri mengalu-alukan kemajuan pelaksanaan Peta Jalan, dan menantikan rebiu jangka-tengah bagi pelaksanaan Peta Jalan sebagai pengambilalihan kemajuan pelaksanaan dan untuk mengekalkan momentum dalam memastikan pembaikan yang dapat dilihat untuk mencapai visi ASEAN bebas jerebu menjelang tahun 2020.

Para Menteri mengambil maklum perbincangan juga kemajuan besar mengenai pelaksanaan Kajian Strategik Program dan Aktiviti Jawatankuasa Pandu Peringkat Menteri Sub-Wilayah (MSC) yang meliputi: (i) Meningkatkan pengurusan kawalan jerebu melalui amaran awal / pemantauan dan pencegahan kebakaran serta penghapusan; (ii) Penghalusan Sistem Penarafan Bahaya Kebakaran (FDRS); (iii) Semakan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk Pemantauan, Penilaian dan Tindak Balas Kecemasan Bersama di bawah Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan, di mana Tahap Amaran, Mata Pencetus dan Tindakan Pencegahan serta Penghapusan Kebakaran dimasukkan; (iv) Kerjasama dua hala sejajar dengan AATHP; dan (v) Pembinaan Kapasiti Negara anggota ASEAN di bawah Rangkaian Latihan Jerebu Serantau.

Mereka juga menarik perhatian bahawa Menteri-menteri yang bersidang pada Mesyuarat Ke-13 Persidangan Parti kepada Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (COP-13) yang diadakan pada 12-13 September 2017 di Negara Brunei Darussalam, mengalu-alukan pengesahan modaliti bagi perkongsian maklumat titik-panas di kalangan negara MSC seperti yang disyorkan oleh Mesyuarat Ke-7 Jawatankuasa Bertindak Teknikal MSC (MTTF Ke-7). Para Menteri menyatakan bahawa mekanisme perkongsian maklumat beroperasi pada musim kemarau di selatan ASEAN.

Di samping itu, para Menteri mengambil maklum kemajuan yang signifikan dalam pelaksanaan Strategi Pengurusan Tanah Gambut ASEAN (APMS 2006-2020) melalui Program ASEAN Dalam Pengurusan Lestari Ekosistem Tanah Gambut (APSMPE 2014-2020) dan menyatakan penghargaan atas sokongan daripada rakan dan rakan kongsi pembangunan ASEAN.

Menteri-menteri menarik perhatian pada Perjanjian Pembiayaan untuk Program ASEAN-EU mengenai Penggunaan Lestari Tanah Gambut dan Pengurangan Jerebu di ASEAN (SUPA) yang ditandatangani pada 27 Disember 2016 dengan anggaran perbelanjaan indikatif sebanyak EUR 24.5 juta bagi tempoh selama 60 bulan dan menantikan pelaksanaan program tersebut pada 2018.

Mereka juga menantikan pemeteraian dan penandatanganan Perjanjian Geran Besar Tindakan Terukur untuk Pengurusan Tanah Lestari Bebas Jerebu di Asia Tenggara (MAHFSA), sebuah program yang disokong oleh Dana Antarabangsa untuk Pembangunan Pertanian (IFAD), berjumlah USD 3.5 juta selama tempoh 60 bulan.

Para menteri mengesahkan komitmen mereka untuk menyelaraskan pelaksanaan program / projek di bawah APSMPE (2014-2020) melalui mekanisme ASEAN, meningkatkan usaha peringkat kebangsaan dan perkongsian pelbagai pihak berkepentingan. Menteri-menteri juga menyokong kajian kedua APMS yang akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Bertindak Mengenai Tanah Gambut ASEAN.

Mereka juga mengambil maklum Laporan Kajian Kesan Jerebu Ke atas Ekonomi, Kesihatan dan Sosial pada 2015 di Rantau ASEAN yang telah disahkan oleh Persidangan Pihak-pihak kepada AATHP (COP).

Menteri-menteri mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Diraja Thai dalam menganjurkan Mesyuarat MSC Ke-20, atas pelaksanaan yang sangat baik dan hospitaliti yang diberikan. Mesyuarat Ke-21 MSC akan diadakan di Negara Brunei Darussalam pada tahun 2019.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments