Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kualiti air masih mematuhi Garis Pandu Piawaian WHO

Siaran Akhbar: Jabatan Kerja Raya

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 13 Jun. – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan kepada orang awam bahawa pada masa ini kualiti air mentah di sungai adalah sukar untuk dirawat akibat kejadian banjir yang telah berlaku baru-baru ini di sekitar lembangan Kuala Barun.

Oleh yang demikian, tahap pengeluaran air bersih telah menurun bagi memastikan kualiti air terakhir untuk orang ramai tidak terjejas. Pihak jabatan sentiasa giat berusaha meningkatkan lagi tahap pengeluaran air bersih serta mengelakkan 'coloured water' daripada memasuki sistem pembekalan air.

Pihak jabatan juga memberi jaminan bahawa berdasarkan pemantauan rutin dalam ujian sampel air dari beberapa lokasi di Daerah Brunei Muara dan Tutong, bekalan air adalah masih mematuhi Garis Pandu Piawaian WHO bagi Air Minum, walaupun terdapat beberapa aduan orang ramai diterima berhubung dengan 'coloured water'.

Walau bagaimanapun, langkah-langkah pencegahan sentiasa dipertingkatkan dan dijalankan secara berterusan bagi memastikan konsistensi kualiti air berada dalam lingkungan Garis Pandu Piawaian WHO.

Di samping itu, aktiviti 'flushing' rangkaian paip bagi pembersihan saluran paip air juga telah dijalankan secara berterusan sejak bulan lalu di kebanyakan kawasan di kedua-dua daerah.

Pihak jabatan juga ingin menasihatkan orang ramai supaya memasak air mereka khusus untuk keperluan minuman sebagai sebahagian daripada langkah berjaga-jaga.

Dalam hubungan ini, JKR juga ingin mengambil kesempatan untuk memohon kerjasama orang awam agar sentiasa menggunakan air secara berhemah dan kurang pembaziran serta melaporkan kepada Talian Darussalam 123 bagi sebarang masalah yang berkaitan dengan air.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments