Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Penambahan hari Rabu Hari Tanpa Beg Plastik

Siaran Akhbar: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

Hari Khamis Tanpa Beg Plastik.jpg

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 Julai. – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) mengumumkan bahawa penambahan hari Rabu kepada Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik akan bermula pada 11 Julai 2018, menjadikannya lima hari tanpa beg plastik di gedung-gedung dan syarikat perniagaan.

Penambahan ini adalah bagi merealisasikan hasrat kerajaan ke arah tiada penggunaan beg plastik menjelang 1 Januari 2019. Slogan untuk inisiatif tersebut, 'It takes a nation to end plastic pollution' menekankan pentingnya penglibatan kesemua pihak untuk menjayakan usaha pengurangan pencemaran plastik.

Sepertimana yang diucapkan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar pada acara Pelancaran Penambahan Hari Khamis Ke Arah Setiap Hari Tanpa Beg Plastik pada 19 April 2018; "Kejayaan dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam ini bebas daripada pencemaran plastik bergantung sepenuhnya dari tindakan semua pihak, terutama sekali pihak pasar raya dan gedung-gedung perniagaan, pemilik kedai runcit dan orang ramai yang jadi pengguna bag plastik. Sekiranya tiada kesedaran dalam kalangan kita semua mengenai pencemaran dari beg plastik, segala perancangan yang diungkayahkan oleh pihak kerajaan tidak akan berjaya sepenuhnya."

Penambahan hari-hari lain akan dibuat secara berperingkat-peringkat seperti Selasa pada Oktober 2018 dan Isnin untuk ditambah pada Disember 2018, pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Pada peringkat permulaannya, penambahan hari kepada inisiatif ini akan melibatkan kedai-kedai dan gedung-gedung perniagaan yang sedia ada tersenarai di bawah Inisiatif Hujung Minggu Tanpa Beg Plastik dan akan diperluaskan dan dilaratkan lagi kepada pengguna beg plastik yang lain seperti kedai-kedai runcit, restoran dan gerai-gerai makanan di seluruh negara.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments