Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Meningkatkan pemahaman aspek budaya kerja
Oleh:  Khartini Hamir | Foto: Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali | Selasa, 08 September 2015

53b4a544385742313854ac12ea5bc7ae_XL1.jpg
HADIR menyempurnakan penyampaian sijil pada pada Majlis Penutup Bengkel Pelan Tindakan Keselamatan Kebudayaan Strategik (Strategic Safety Culture Roadmap) di Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria.

BERAKAS, Selasa, 8 September. - Seramai 26 pegawai kanan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya menerima sijil masing-masing pada Majlis Penutup Bengkel Pelan Tindakan Keselamatan Kebudayaan Strategik (Strategic Safety Culture Roadmap) di Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan di sini.

Hadir menyempurnakan penyampaian sijil tersebut ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria.

Bengkel dua hari itu kelolaan Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Jabatan Pentadbiran dan Kewangan dan dibimbing oleh fasilitator undangan dari Amerika Syarikat, Profesor Dominic Cooper.

Bengkel bertujuan untuk memberi pemahaman meluas mengenai aspek-aspek berkaitan budaya kerja yang selamat dan sihat serta strategi-strategi yang perlu dibuat bagi membantu setiap organisasi di kementerian itu.

080915_AMIRUL2_SIJIL.jpg
PEMANGKU Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan
 Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta.

Hasil bengkel tersebut akan dapat dikongsikan kepada pegawai dan kakitangan di pejabat masing-masing dalam sama-sama membudayakan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Semua aspek itu diharap dapat mengurangkan kemalangan di tempat kerja selain memperbaiki prestasi jabatan dan agar produktiviti kerja dapat dipertingkatkan.

JKR dalam inisiatifnya berterusan akan mengadakan bengkel-bengkel khusus bagi pegawai dan kakitangannya untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan dalam isu-isu keselamatan dan kesihatan, seperti Kursus Panduan Keselamatan di Tapak Pembinaan, Kursus Safety In Office, Basic HSE Training bagi pegawai dan kakitangan baru dan Seminar Chemical Management.

Hadir sama ialah Pengarah Pentadbiran dan Kewangan JKR, Pengiran Haji Mohd Noordin bin Pengiran Lela Perkasa Pengiran Haji Mohd Said serta pegawai-pegawai JKR.

Sumber: Pelita Brunei.
Attachments