Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Dua pakej projek Jambatan Temburong dimeterai

Oleh:  Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi | Foto: Mohd. Sahrizal Haji Said | Khamis, 10 September 2015

ea9ed694fb21d73f767169db66f0d4b2_XL1.jpg 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 September. - Pembinaan lebuh raya dua hala sepanjang kira-kira 30 kilometer akan dibina di bawah projek Jambatan Temburong yang menghubungkan dari Jalan Labu, Temburong ke Jalan Utama Mentiri.

Projek berkenaan dilaksanakan di bawah beberapa siri pakej kontrak pembinaan.

Kesinambungan daripada siri pakej sebelumnya, dua lagi pakej iaitu Navigation Bridges (CC3) dan Temburong Viaduct (CC4)  telah berjaya dimeterai di antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pembangunan dan pemborong-pemborong yang terpilih bagi melaksanakan projek mega itu.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman hadir menyaksikan penandatanganan perjanjian kontrak yang berlangsung di bangunan Jabatan Kerja Raya, di sini.

100915_RIZAL8_MOU.jpg 

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman semasa hadir di Majlis Menandatangani Kontrak bagi Projek Jambatan Temburong di Jabatan Kerja Raya.

Juga hadir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yang Jian; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik, Tuan Yang Terutama Mr. Cho Won Myung; Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Menandatangani bagi pihak kerajaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Teknikal & Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Chua Pheng Keong.

100915_RIZAL5_MOU.jpg 

100915_RIZAL6_MOU.jpg 

HADIR menyaksikan penandatanganan perjanjian kontrak ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.

Sementara dari kontraktor bagi Pakej CC3, usaha sama Daelim Industrial Co. Ltd. dan Swee Sdn. Bhd.  ditandatangani oleh Presiden Daelim Industrial Co. Ltd, Kim Dong Soo dan Pengerusi Swee Sdn. Bhd., Toh Boon Choi.

Manakala kontraktor Pakej CC4 pula ialah Pengarah Urusan Infrastruktur China State Construction Engineering Corporation (CSCEC) Ltd., Sun Lixin dan Pengerusi Ocean Quarry & Construction Sdn. Bhd., Dato Paduka Awang Haji Junaidi bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim.

100915_RIZAL7_MOU.jpg 

PEMANGKU Setiausaha Tetap (Teknikal & Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya di majlis tersebut.

Terdahulu, Awang Haji Marzuke menjelaskan, Pakej CC2 (Marine Viaduct) berjalan dengan lancar dan bermulanya kerja-kerja awal antara lain pengurusan kemudahan tapak di Serasa termasuk pengangkutan jentera dan peralatan.

Menurutnya, Pakej CC3 yang ditandatangani baru-baru ini dijangka akan siap sepenuhnya pada Februari 2019, kira-kira 39 bulan dalam pembinaannya.

Sementara pelaksanaan Pakej CC4, sejauh kira-kira 42 bulan dijangka akan siap sepenuhnya pada bulan Mac 2019 nanti.

Pakej CC3 merangkumi pelaksanaan dua Navigational 'cable-stay bridges' di antara Kota Batu dan Tanjung Kerasek dan menghubungkan jejambat laut dan persimpangan.

100915_RIZAL1_MOU.jpg 

TETAMU kehormat semasa bergambar ramai bersama kontraktor-kontraktor pakej CC3 dan CC4, Projek Jambatan Temburong (atas) dan bersama para jemputan dan kontraktor-kontraktor projek pakej CC3 dan CC4 (bawah).

100915_RIZAL2_MOU.jpg 

Jambatan navigasi pertama ialah jambatan pilon kabel tunggal  dengan dua rentang setinggi 145 meter pada setiap satu Saluran Brunei, manakala yang kedua iaitu dua pilon kabel dengan dua rentang setinggi 260m dan 130m pada belakang setiap rentang Saluran Timur.

Sementara Pakej CC4 pula akan melibatkan pembinaan kira-kira 11.8km jambatan merentasi di kawasan Temburong iaitu paya bakau dari Tanjung Kerasek ke Labu.

Kerja-kerja kedua-dua pakej itu akan mula dijalankan bermula 1 Oktober ini.

Orang ramai dan semua pihak yang berkepentingan akan dimaklumkan tentang kerja-kerja yang akan datang di kawasan yang terlibat dan akan memastikan semua langkah keselamatan dan langkah berjaga-jaga disediakan.

Sumber: Pelita Brunei

Attachments