Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kejohanan Bola Sepak 11 Orang Sepasukan buka tirai

Berita dan Foto: Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin

1_Perasmian Kejohanan Bola Sepak 2018.jpg

TIMBALAN Menteri Kementerian Pembangunan, Yang Mulia Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin semasa hadir selaku tetamu kehormat.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 11 Ogos. – Kejohanan Bola Sepak 11 Orang Sepasukan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan Di Bawahnya Tahun 2018 malam tadi membuka tirainya di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Kejohanan tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan, Yang Mulia Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin selaku tetamu kehormat.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Jabatan Saliran dan Pembetungan bersama Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, Jabatan Kerja Raya (JKR), disertai oleh 12 buah pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Berentap dalam Kumpulan A ialah Jabatan Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal, JKR; Jabatan Kemajuan Perumahan; Jabatan Tanah; Jabatan Perkhidmatan Air, JKR; Jabatan Perkhidmatan Bangunan, JKR; dan Pejabat Ketua Pengarah dan Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, JKR.

Manakala Kumpulan B pula diisikan dengan Jabatan Ukur; Jabatan Kerja Raya Daerah Belait dan Tutong; Jabatan Perancang Bandar dan Desa; Kementerian Pembangunan; Jabatan Saliran dan Pembetungan, JKR dan Jabatan Perkhidmatan Teknikal, JKR.

Objektif kejohanan tersebut adalah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, selain untuk meningkatkan lagi kecerdasan mental dan fizikal, memupuk sikap bekerjasama, berkomunikasi dan semangat berpasukan di antara para pegawai dan kakitangan.

Ianya juga dihasrat akan dapat membudayakan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan, mencungkil bakat baru yang dapat diketengahkan bagi kejohanan-kejohanan bola sepak di peringkat Jabatan dan Kementerian.

Juga hadir ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Awang Haji Amer Hishamuddin bin POKAPDSS Haji Zakaria; Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan kerajaan daripada Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments