Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

860 penerima dikurniakan anak kunci rumah

​Siaran Akhbar: Jabatan Kemajuan Perumahan | Foto: Kementerian Pembangunan

IMG_9687.JPG

KEBAWAH DYMM semasa berkenan menganugerahkan anak kunci rumah kepada salah seorang penerima.

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Ogos.  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah kepada 860 orang penerima di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) bagi Daerah Brunei-Muara.

Majlis berkenaan diadakan di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, Menteri Pembangunan yang juga Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II selaku Pengarah Lembaga Kemajuan Brunei (BEDB).

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Dr Haji Badaruddin bin Pengiran Abd Rahman, Hakim Mahkamah  Rendah Syariah, Daerah Brunei dan Muara diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Yang Mulia Awang Haji Ali bin Matyassin, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara.

Pada majlis pagi itu, dari jumlah tersebut seramai 140 orang menerima rumah jenis kembar dan 716 orang menerima rumah teres di bawah RPN Panchor (Mengkubau) dan 4 orang menerima rumah jenis teres di bawah STKRJ Kampong Tungku (Katok 'A') dan STKRJ Kampong Mata-Mata (Katok 'B'). Bagi memberkati majlis doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Brunei dan Muara.

IMG_9636.JPG

SEBAHAGIAN peserta di Majlis Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah Kembar dan Rumah Teres Di Bawah Rancangan Perumahan Negara Panchor (Mengkubau) Serta Rumah Teres Di Bawah Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Tungku (Katok 'A') dan Kampung Mata-Mata (Katok 'B') bagi Daerah Brunei Muara.

Sejurus selesai menyempurnakan majlis penganugerahan itu, KDYMM berkenan melawat ke Sekolah Rendah Pusar Ulak (SRPU) Brunei I. Sekolah ini dibina pada tahun 1965 dimana ianya juga diantara sekolah yang tertua di kawasan pusat Bandar Seri Begawan. Pada tahun 1968, SRPU pernah mencatatkan jumlah pelajar yang tertinggi iaitu seramai 1,051 orang. Pada tahun 2013 pula, SRPU mempunyai bangunan baru yang mula digunakan pada Ogos 2015. Pada masa ini, SRPU mempunyai seramai 276 orang pelajar menuntut dari Pra hingga ke Tahun 6.

IMG_9804.JPG

IMG_9844.JPG

IMG_9872.JPG

KEBAWAH DYMM semasa berkenan melawat ke Sekolah Rendah Pusar Ulak Brunei I.

Kemudian KDYMM berkenan meneruskan lawatan ke institusi pendidikan tinggi, Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA). Pada tahun 1992, bangunan asal SMJA mengalami kebakaran dan pembinaan semula bangunan asal sekolah ini siap pada Jun 1994 dan digunakan sehingga sekarang. Sekolah ini telah meraikan 50 tahun Jubli Emasnya pada tahun 2001. Seramai 962 orang penuntut mengikuti persekolahan di sekolah ini bermula dari Tahun 7 hingga ke Tahun 11.

IMG_9907.JPG

IMG_9921.JPG

IMG_9965.JPG

KEBAWAH DYMM semasa berkenan melawat ke Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA).

Lawatan baginda ke institusi pendidikan ini menunjukkan baginda sentiasa mengambil perhatian berat tentang kesejahteraan dan keperluan pelajar-pelajar sekolah. Ini bagi memastikan mereka mendapatkan pendidikan yang menyeluruh bukan sahaja terhad kepada pencapaian akademik tetapi juga kemahiran kehidupan, daya kreativiti serta keyakinan diri yang tinggi dengan ilmu pengetahuan agama yang menjadi cara hidup mereka.

Dari lawatan di SMJA, KDYMM berkenan berangkat ke rumah Ketua Kampong Sungai Akar, Yang Mulia Awang Haji Ramlee bin Haji Md Zain di Kampong Sungai Akar, Mukim Berakas 'B'.

IMG_0032.JPG

KEBAWAH DYMM berkenan menyaksikan pameran kikik semasa berkenan berangkat ke kediaman Ketua Kampung Sungai Akar, Awang Haji Ramlee bin Haji Md Zain.

Diakhir lawatan, KDYMM berkenan berangkat ke rumah peserta-peserta yang menerima anak-anak kunci rumah mereka di bawah Rancangan Perumahan Negara Panchor (Mengkubau), Mukim Mentiri iaitu:

  1. Yang Mulia Dayang Norhasrinah binti Hassan, No. 2, Simpang 185, Jalan Tanjong Selasih (Rumah Teres);
  2. Yang Mulia Awang Muhammad Deni bin Mohd Dali, No. 4, Simpang 185, Jalan Tanjong Selasih (Rumah Teres);
  3. Yang Mulia Dayangku Norhayati binti Pengiran Haji Yakop, No. 34, Simpang 79, Jalan Bukit Bintagur (Rumah Kembar); dan
  4. Yang Mulia Awang Muhammad Husin bin Abdullah Merikan, No. 36, Simpang 79, Jalan Bukit Bintagur (Rumah Kembar).

 IMG_0080.JPG

IMG_0185.JPG

KEBAWAH DYMM berkenan berangkat ke rumah beberapa orang peserta yang menerima anak-anak kunci rumah.

Pada keluasan 121.5 meter persegi, setiap unit rumah kembar dan rumah teres di kawasan RPN Kampong Panchor (Mengkubau) ini pula mempunyai tiga (3) bilik tidur, bilik mandi dan dapur.

Perumahan di kawasan RPN Kampong Panchor (Mengkubau) ini menelan belanja lebih 300 juta, dan dari 4,000 unit tersebut, sebanyak 2,400 buah adalah rumah jenis teres dan selebihnya adalah rumah jenis berkembar yang dibina di atas kawasan kira-kira 309 hektar. Kawasan perumahan ini merupakan satu konsep pembangunan perumahan komprehensif lengkap dengan ruang tanah untuk kemudahan awam di masa hadapan seperti sekolah, masjid, kemudahan komersial, pusat komuniti, taman dan kawasan rekreasi dan taman permainan.

Dapat dilihat sejak wujudnya Skim Perumahan Negara, ia terus berkembang dan dinikmati oleh seluruh rakyat dan negara ini. Hingga ke hari ini, lebih dari 29 ribu buah rumah di bawah RPN dan STKRJ telah dibina di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 27,379 buah telah dianugerahkan kepada para penerima yang berkelayakan dan dari jumlah tersebut lebih 18 ribu orang adalah pemohon bagi Daerah Brunei-Muara.

Rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam ini sangat bertuah kerana kesejahteraan dan kepentingan taraf kualiti kehidupan antaranya dari segi penyediaan perumahan tetap menjadi keutamaan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mana ia merupakan perlaksanaan yang berterusan sejak era pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien pada awal tahun 50-an.

Ini jelas mencerminkan sikap keprihatinan dan pemedulian KDYMM kepada rakyat dan penduduk di negara ini, secara tidak langsung membuktikan komitmen Kerajaan dalam mendukung hasrat dan cita-cita KDYMM khususnya dalam menyediakan perumahan yang berkonsep berdaya tahan dan mapan ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Attachments