Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Penyampaian sijil lantikan BAPEQS sesi 2018-2021
Berita dan Foto: Kementerian Pembangunan

Lantikan BAPEQS 2018-2021.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menyampaikan Sijil Lantikan BAPEQS kepada Timbalan Menteri Pembangunan, Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 September. – Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (BAPEQS) telahpun ditubuhkan pada 13 September 2012 dibawah Bab 4, Perintah Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (APEQSO) 2011.

Majlis penyampaian sijil bagi Ahli-Ahli Lembaga baru bagi sesi 2018-2021 diadakan di bilik Persidangan SiPugut di Kementerian Pembangunan, yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Fatihah dan Doa Selamat.

Di awal majlis, Yang Berhormat Menteri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli-Ahli Lembaga Sesi 2015-2018 diatas pencapaian cemerlang untuk melaksanakan terma rujukan seperti yang diwartakan dalam Perintah APEQS2011. Yang Berhormat Menteri Pembangunan seterusnya percaya Ahli-Ahli baru Lembaga Sesi 2018-2021 yang telah dilantik adalah terpilih diatas profesionalisme dan kemahiran dalam bidang masing-masing yang sehaluan dengan visi, misi dan objektif Lembaga dan Kementerian.

Lembaga APEQS berperanan untuk mengawalselia perkhidmatan seni bina, kejuruteraan dan ukurbahan agar sentiasa bermutu tinggi dan terkawal serta hasil kualiti perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan akan sentiasa meningkat. Dalam mana-mana perkhidmatan, orang ramai menginginkan keselamatan yang terjamin. Justeru itu, para profesional hendaklah menitik beratkan kualiti serta menjaga disiplin dan etika selaras dengan yuran yang dikenakan oleh pihak pejalan amalan yang berdaftar.

Lembaga Sesi 2015-2018 telah berjaya melaksanakan Garispanduan 1 hingga 23; mengadakan peperiksaan yang digelar BAPEQS Professional Competency Examinations setiap tahun; mendaftarkan lebih banyak pengawai-pegawai kerajaan dan Badan Korporat/Kongsi yang Multidiscipline dan Specialists; menjalankan kes-kes siasatan dan menangani illegal practices.

Lantikan Ahli Lembaga sesi 2015-2018 berakhir pada 12 September 2018 dan lantikan Ahli Lembaga Sesi 2018-2021 bermula pada 13 September 2018. Pada majlis tersebut, Sijil-Sijil Penghargaan kepada 12 orang Ahli dan Pendaftar Lembaga bagi Sesi 2015-2018 dan telah disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

Majlis tersebut diteruskan dengan penyampaian Sijil-Sijil Lantikan kepada 12 orang Ahli-Ahli dan Pendaftar Lembaga APEQS bagi Sesi 2018 hingga 2021. Ahli-Ahli Lembaga APEQS yang baru ini terdiri daripada ahli professional dari sektor Kerajaan, sektor swasta dan ahli akademik.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha-setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria; dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Ir. Dayang Hajah Siti Aidah binti Haji Mohammad dan Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub.
Attachments