Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Selasa, 2 Oktober tambahan Hari Tanpa Beg Plastik

Siaran Akhbar: Kementerian Pembangunan

 Penambahan Hari Selasa Sebagai Hari Tanpa Beg Plastik.jpg

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2 Oktober. – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) mengumumkan bahawa penambahan hari Selasa kepada Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik akan bermula pada 2 Oktober 2018 Masihi bersamaan dengan 22 Muharram 1440 Hijrah, menjadikannya enam hari tanpa beg plastik di gedung-gedung dan syarikat perniagaan. Penambahan ini adalah bagi merealisasikan hasrat kerajaan ke arah tiada penggunaan beg plastik menjelang 1 Januari 2019.

Slogan untuk inisiatif tersebut, "It takes a nation to end plastic pollution" menekankan pentingnya penglibatan kesemua pihak untuk menjayakan usaha pengurangan pencemaran plastik. Sepertimana yang diucapkan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar di acara Pelancaran Penambahan Hari Khamis ke Arah Setiap Hari Tanpa Beg Plastik pada 19 April 2018.

"Kejayaan dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam ini bebas dari pencemaran plastik bergantung sepenuhnya dari tindakan semua pihak, terutama sekali pihak pasar raya dan gedung-gedung perniagaan, pemilik kedai runcit dan orang ramai yang jadi pengguna beg plastik.

Sekiranya tiada kesedaran di kalangan kita semua mengenai pencemaran dari beg plastik, segala perancangan yang diungkayahkan oleh pihak kerajaan tidak akan berjaya sepenuhnya," ujar Yang Berhormat.

Bagi pengetahuan awal, penambahan hari Isnin akan bermula pada 31 Disember 2018M bersamaan dengan 23 Rabiulakhir 1440H menjadikannya Setiap Hari Tanpa Beg Plastik Menjelang 1 Januari 2019.

Pada  peringkat permulaannya, penambahan hari kepada inisiatif ini akan melibatkan kedai-kedai dan gedung-gedung perniagaan yang sedia ada tersenarai di bawah Inisiatif Hujung Minggu Tanpa Beg Plastik dan akan diperluaskan dan dilaratkan lagi kepada pengguna beg plastik yang lain seperti kedai-kedai runcit, restoran dan gerai-gerai makanan di seluruh negara.

Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi akan melaratkan lagi Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik bagi merealisasikan hasrat kerajaan ke arah tiada penggunaan beg plastik menjelang 1 Januari 2019.

Sehubungan itu, adalah dimaklumkan bahawa penambahan hari Selasa, 2 Oktober 2018M bersamaan dengan 22 Muharam 1440H akan menjadikannya enam hari dalam seminggu tanpa penggunaan beg plastik di gedung-gedung dan syarikat-syarikat perniagaan yang ikut serta. Untuk makluman juga, penambahan hari Isnin akan bermula pada 31 Disember 2018M bersamaan dengan 23 Rabiulakhir 1440H.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pihak Jabatan melalui e-mel: 'jastre.brunei@env.gov.bn' atau kunjungi akaun Instagram Jabatan di '@jastre.bn.'

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments