Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kementerian Pembangunan terima lawatan peserta SSEAYP

Berita dan Foto: Kementerian Pembangunan

1_Kementerian Pembangunan terima lawatan peserta SSEAYP.JPG

PESERTA Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) semasa sesi bergambar ramai sebelum mengadakan lawatan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 November. – Seramai 35 orang para belia dari negara-negara ASEAN dan Jepun di bawah Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) Ke-45 hari ini mengadakan lawatan ke Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer dan meninjau rumah-rumah di bawah Projek Perintis Menaik Taraf Kampong Ayer di Kampong Peramu.

Kehadiran rombongan delegasi tersebut dialu-alukan oleh pegawai-pegawai Kementerian Pembangunan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Kunjungan ini merupakan salah satu program yang telah diatur oleh pihak berkenaan iaitu di bawah program sesi perbincangan yang bertajuk 'Resilient and Sustainable City Design'.

3_Kementerian Pembangunan terima lawatan peserta SSEAYP.JPG

PEGAWAI dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan semasa memberikan taklimat kepada peserta Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP).

Sesi lawatan tersebut dimulakan dengan tayangan klip video mengenai dengan Kampong Ayer dan seterusnya disusuli dengan taklimat oleh jabatan-jabatan yang terlibat. Para peserta didedahkan dengan rekabentuk bangunan khususnya di Kampong Ayer termasuklah hal-hal berkenaan dengan ketahanan struktur rumah-rumah kediaman di Kampong Ayer yang semenjak dahulu lagi diperbuat daripada kayu tetapi mampu berdayatahan untuk sekian lama. Para peserta juga kemudian mendengarkan taklimat mengenai dengan pengurusan sampah di Kampong Ayer.

Setelah itu, delegasi tersebut turut mengadakan lawatan dan menyaksikan dengan lebih dekat lagi rumah-rumah persendirian di Kampong Peramu.

4_Kementerian Pembangunan terima lawatan peserta SSEAYP.JPG

PESERTA Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) mengadakan lawatan ke rumah-rumah di bawah Projek Perintis Menaik Taraf Kampong Ayer di Kampong Peramu.

Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah wakil-wakil daripada Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pusat Sejarah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Attachments