Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Tinjau secara dekat kerja projek Jambatan Temburong

Oleh: Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin | Foto: Masri Osman, Hamzah Mohidin

2_Tinjau secara dekat kerja projek Jambatan Temburong.jpg

DYTM semasa berkenan menerima junjung ziarah.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 14 Februari. – Impian Negara Brunei Darussalam untuk menghubungkan Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong menerusi projek negara berskala mega, iaitu Projek Jambatan Temburong hampir menjadi kenyataan apabila peratusan kemajuan projek tersebut kini mencapai sehingga 75 peratus.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Penaung Autoriti Kemajuan Daerah Temburong berkenan berangkat bagi mengadakan Lawatan Kerja ke projek berkenaan.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di tapak pembinaan Projek Jambatan Temburong di Kampung Kota Batu dijunjung oleh Pengerusi Bersama Autoriti Kemajuan Daerah Temburong, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Turut menjunjung ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar; dan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Mohd. Hussein selaku Timbalan-timbalan Pengerusi Bersama Autoriti Kemajuan Daerah Temburong.

Sejurus ketibaan, Doa Selamat dibacakan sebelum Keberangkatan Lawatan Kerja dimulakan dan seterusnya dijunjung berangkat menaiki bot khas bagi memulakan lawatan untuk meninjau kemajuan pembinaan Projek Jambatan Temburong yang merentasi perairan Teluk Brunei bermula dari jambatan gantung menara tunggal dan jambatan penghubung utara dan selatan Kampung Kota Batu.

Semasa menelusuri Sungai Brunei, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan mendengar sembah penerangan daripada Menteri Pembangunan mengenai kemudahan-kemudahan yang ada dan akan disediakan di jambatan berkenaan.

 1_Tinjau secara dekat kerja projek Jambatan Temburong.jpg

3_Tinjau secara dekat kerja projek Jambatan Temburong.jpg

DYTM semasa berkenan menerima sembah penerangan.

Sejurus tiba di jeti dek berdekatan dengan Menara Berkembar di jambatan tersebut, DYTM kemudiannya dijunjung berangkat naik ke Pier Deck Jambatan Marin bagi meninjau lebih dekat lagi sebahagian daripada Jambatan Marin yang sudah siap dibina.

Di sini, DYTM berkenan mendengar sembah penerangan daripada dua orang Junior Site Engineer, iaitu Awang Md. Izz Rafiuddin bin Haji Amer Hishamuddin; dan Matius anak Belayan mengenai teknik-teknik yang digunakan untuk menubuhkan jambatan itu, selain menerangkan seni-seni berunsur keagamaan yang akan diterapkan di Menara Berkembar berkenaan.

Selepas itu, DYTM juga berkenan meninjau aktiviti-aktiviti pembinaan Menara Berkembar Jambatan Marin di Pier Deck 167 sebelum berkenan menandatangani lembaran kenangan dan sesi bergambar ramai juga Majlis Santap di Pier Deck 208.

4_Tinjau secara dekat kerja projek Jambatan Temburong.jpg

DYTM semasa berkenan menandatangani lembaran kenangan.

Selesai meninjau Jambatan Marin, DYTM seterusnya berangkat ke tapak pembinaan Projek di Jalan Labu, Daerah Temburong yang mana ketibaan DYTM di tapak itu dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu.

Di tapak tersebut, DYTM seterusnya dijunjung berangkat ke Pier Deck 1000, di mana DYTM berkenan mendengarkan sembah penerangan daripada Assistant Resident Engineer, Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Metusin mengenai status dan aktiviti pembinaan di tapak berkenaan.

5_Tinjau secara dekat kerja projek Jambatan Temburong.jpg

DYTM semasa berkenan meninjau aktiviti pembinaan Jambatan Temburong.

DYTM seterusnya berangkat mengadakan lawatan ke beberapa tempat di Daerah Temburong seperti Pos Kawalan Imigresen Sementara Labu; Taman Rekreasi Hutan Bukit Patoi; Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) dan Bangunan Bumiputera, Pekan Bangar.

Projek Jambatan Temburong merupakan salah satu projek kebangsaan terbesar yang dianggarkan mempunyai kepanjangan 30 kilometer dan akan menjadi penghubung ke Jalan Utama Mentiri di Daerah Brunei dan Muara dengan Jalan Labu di Daerah Temburong, merentasi Teluk Brunei.

Projek Jambatan Temburong tersebut akan merentasi perairan Brunei melalui jambatan sepanjang kira-kira 14 kilometer dengan panjang keseluruhan jalan dan jejambat sejauh 30 kilometer, bermula dari Jalan Utama Mentiri di Daerah Brunei dan Muara hingga ke Labu Estate di Daerah Temburong dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments