Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Luaskan kesedaran tentang alam sekitar

Berita: Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin

2_Sambutan Hari Bumi 2019.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa hadir selaku tetamu kehormat semasa Sambutan Hari Bumi 2019.

BERAKAS, Isnin, 22 April. – Hari Bumi disambut di seluruh dunia pada setiap 22 April dengan hasrat untuk meluaskan kesedaran tentang alam sekitar yang mendalam berkaitan dengan bumi dan ekosistemnya.

Negara Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan mengadakan Sambutan Hari Bumi 2019 dengan penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Poster Setiap Hari Tanpa Beg Plastik, berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat, seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Martinah binti Haji Tamit menyentuh mengenai ancaman dan kepupusan spesis di peringkat global yang didorong oleh kegiatan manusia seperti penebangan hutan yang tidak mampan, perdagangan dan pemburuan haram juga pencemaran.

"Allah telah menjadikan setiap apa yang hidup mempunyai keunikan dan nilai-nilai intrinsik mereka tersendiri, dan masing-masing memainkan peranan yang unik dalam ekosistem kita. Oleh itu, kita mestilah bekerjasama untuk melindungi spesis-spesis yang terancam ini seperti lebah, terumbu karang, gajah, zirafah, serangga, ikan paus dan banyak lagi," jelas Pemangku Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi itu lagi.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi melancarkan video animasi 'Setiap Hari Tanpa Beg Plastik' yang menggambarkan bahaya beg plastik kepada haiwan marin dan ekosistem secara am dan dalam masa yang sama membarigakan lagi penglaratan inisiatif ke tujuh hari dalam seminggu juga menyeru penggunaan beg guna semula bukan sahaja di gedung perniagaan, tetapi juga di kedai-kedai runcit, restoran-restoran dan gerai-gerai makanan.

Video animasi tersebut akan disiarkan di Radio Televisyen Brunei juga laman sesawang dan media sosial JASTRe.

Sambutan juga diisikan dengan taklimat mengenai tema sambutan tahun ini, iaitu 'Protect Our Species' atau 'Lindungi Spesis Kita', disampaikan oleh Presiden Persatuan Biodiversiti dan Sejarah Alam (BruWILD), Lin Ji Liaw.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Poster 'Setiap Hari Tanpa Beg Plastik' disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

3_Sambutan Hari Bumi 2019.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan semasa menyampaikan hadiah kepada Pemenang Kategori Junior.

4_Sambutan Hari Bumi 2019.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan semasa menyampaikan hadiah kepada Pemenang Kategori Intermediate.

5_Sambutan Hari Bumi 2019.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan semasa menyampaikan hadiah kepada Pemenang Kategori Terbuka.

Pemenang Kategori Junior bagi penuntut-penuntut Tahun 1 hingga Tahun 6 adalah Tiong Ing Hoe dari Sekolah Seri Mulia Sarjana yang memenangi baucer hadiah bernilai BND200 dari Syarikat Samima Sdn. Bhd., manakala Pemenang Kategori Intermediate bagi penuntut-penuntut Tahun 7 hingga Tahun 11 adalah Dayang Nur Aqilah Tulain binti Haji Mardani dari Sekolah Menengah Sayyidina Hassan yang mendapat baucer hadiah bernilai BND400 dari Syarikat Mubarak Book Emporium.

Sementara, Kategori Terbuka pula disandang oleh Dayang Nur Syazreen binti Haji Kahar, membawa pulang baucer hadiah dari AV Electronics bernilai BND600.

6_Sambutan Hari Bumi 2019.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan semasa menyampaikan cenderahati kepada Presiden Persatuan Biodiversiti dan Sejarah Alam (BruWILD), Lin Ji Liaw.

7_Sambutan Hari Bumi 2019.JPG

SESI bergambar ramai bersama tetamu kehormat.

Juga hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Ar. Awang Haji Marzuke Bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd. Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Ir. Dayang Siti Aidah binti Haji Mohammad; juga Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Alice Sim Sui Kau.

Sumber: Pelita Brunei.

Foto: Kementerian Pembangunan.

Attachments