Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Aplikasi kursus induksi dalam tugas seharian
​Oleh:  Haniza Abdul Latif / Foto: Haji Masmaleh Haji Mohd. Ali | Selasa, 20 Oktober 2015

0daee4b6e4b1c6d2081b8cb3d79a62f1_XL.jpg
MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman menyampaikan sijil kepada peserta Kursus Induksi Ke-4 Bagi Pegawai-Pegawai Yang Baru Berkhidmat di Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di Bawahnya yang berlangsung di Dewan Betabur, kementerian berkenaan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 20 Oktober. - Seramai 34 pegawai dalam Bahagian II dan Bahagian III yang baru berkhidmat di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya menerima sijil masing-masing setelah menamatkan Kursus Induksi selama enam hari bermula 7 hingga 15 Oktober yang lalu.

Sehubungan itu, Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus Induksi Ke-4 Bagi Pegawai-Pegawai Yang Baru Berkhidmat di Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di Bawahnya telah berlangsung di Dewan Bertabur, kementerian berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sijil-sijil kepada para peserta kursus ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.

201015_HJMAS5_SIJIL.jpg
201015_HJMAS6_SIJIL.jpg
MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman menyampaikan sijil kepada peserta Kursus Induksi Ke-4 Bagi Pegawai-Pegawai Yang Baru Berkhidmat di Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di Bawahnya yang berlangsung di Dewan Betabur, kementerian berkenaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah yang dipimpin oleh Awang Haji Tassan bin Haji Mohammad dari Jabatan Kemajuan Perumahan.

Dalam ucapan alu-aluan Pemangku Pengarah Pentadbir dan Kewangan, Pengiran Kamis bin Pengiran Metamin, selaku Pengerusi Majlis berkata, Kursus Induksi ini telah diadakan di Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan (MODTC), Kementerian Pembangunan, yang merangkumi pelbagai aktiviti termasuk taklimat-taklimat dari jabatan dan divisyen di bawah kementerian tersebut, taklimat-taklimat dari agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan berkepentingan dan aktiviti kerja luar kelas secara berpasukan.

Tambahnya, antara tujuan kursus ini diadakan adalah untuk memberikan pengetahuan dan pemahaman lebih lanjut mengenai fungsi dan tanggungjawab Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, agar pegawai-pegawai baru dapat sama-sama mendukung visi dan misi kementerian tersebut untuk menjadikan sebuah organisasi yang sentiasa mengelinga dan menitikberatkan layanan dan kehendak pelanggan.

201015_HJMAS4_SIJIL.jpg
PEMANGKU Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Pengiran Kamis bin Pengiran Metamin, selaku Pengerusi Majlis menyampaikan ucapan alu-aluannya pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus Induksi Ke-4 Bagi Pegawai-Pegawai Yang Baru Berkhidmat di Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di Bawahnya​.

Jelasnya lagi, kursus ini diharap akan dapat membentuk dan membolehkan para pegawai yang baru berkhidmat di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya untuk dapat melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi, menjadi lebih cekal dalam menghadapi cabaran, proaktif dalam membuat tindakan dan bijak dalam membuat keputusan.

Kementerian Pembangunan juga ujarnya, mengharapkan dengan adanya kursus sedemikian ini akan menjadi pegangan dan dorongan bagi setiap pegawai yang mengikuti program Kursus Induksi itu untuk diaplikasi dalam tugas seharian pegawai tersebut.

Sementara itu, dalam ucapan wakil peserta kursus Awang Ahmad Zuhairi bin Ishak pula berkata, melalui Kursus Induksi ini mereka sebagai pegawai kerajaan yang masih baru dalam sektor kerajaan banyak memperolehi dan mempelajari maklumat yang boleh mencerminkan diri terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing sebagai pegawai kerajaan.

201015_HJMAS3_SIJIL.jpg
UCAPAN wakil peserta kursus, Awang Ahmad Zuhairi bin Ishak.

Dalam program dan aktiviti-aktiviti yang disediakan juga tambahnya, telah memberikan satu pengalaman yang amat bermakna kepada mereka supaya bersiap sedia untuk memperkukuhkan ‘benteng-benteng pertahanan’ dalam apa juga cabaran-cabaran yang akan dihadapi dalam dunia pekerjaan dan secara tidak langsung dapat melahirkan rasa taat setia dalam berkhidmat demi pembangunan dan kebaikan kepada Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

“Dengan keberadaan kami sebagai wakil pegawai yang baru dalam sektor kerajaan ini, insyaaAllah akan cuba memberikan nafas baru dalam memberikan idea-idea yang selaras dengan tugas yang diberikan,” ujarnya lagi.

Juga hadir ke majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhamamd Lutfi bin Abdullah; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Awang Shahrom bin Haji Suhaimi; ketua-ketua jabatan, divisyen-divisyen dan unit-unit di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta peserta-peserta Kursus Induksi.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments