Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Majlis bertedarus di Masjid Ar-Rahman

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Majlis Bertedarus di Masjid Ar-Rahman.JPG

SEKITAR majlis bertedarus rombongan Kementerian Pembangunan di Masjid Ar-Rahman, Kampong Tanjong Bunut.

TANJONG BUNUT, Isnin, 20 Mei. – Rombongan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Bertedarus Al-Quran, Bertahlil dan Berbuka Puasa yang diadakan di Masjid Ar-Rahman, Kampong Tanjong Bunut.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Divisyen dan Unit di Kementerian Pembangunan serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis itu juga dihadiri oleh Ahli-Ahli Takmir Masjid Ar-Rahman serta penduduk yang tinggal di sekitar Kampong Tanjong Bunut.

2_Majlis Bertedarus di Masjid Ar-Rahman.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menyerahkan wakaf yang diterima oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ar-Rahman, Imam Awang Haji Asbinin bin Haji Zainal.

Majlis tersebut dimulakan dengan penyampaian sumbangan wakaf yang berupa satu unit mesin cetak, imbas dan fotokopi dan satu unit penyedut habuk (vacuum cleaner) bagi kegunaan masjid berkenaan yang diserahkan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan kepada Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ar-Rahman, Imam Awang Haji Asbinin bin Haji Zainal.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan diikuti dengan bertedarus Al-Quran bermula dari juzuk ke-14 secara bergilir-gilir.

Rombongan dari Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya juga pada majlis tersebut turut berbuka puasa dan seterusnya menunaikan Solat Fardhu Maghrib berjemaah.

Majlis seumpamanya merupakan sebahagian daripada kegiatan keagamaan yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan sempena dengan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Attachments