Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Proses Kawalan Kemajuan direformasi

Oleh:  Rohani Haji Abdul Hamid | Foto: Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah | Khamis, 29 Oktober 2015

8e36702941a4231113f5d0259ccf0d58_XL.jpg

PEMANGKU Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin ketika hadir pada Majlis Sesi Dailog No. 3/2015 bagi Pemberigaan Proses Kawalan Kemajuan bertempat di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 29 Oktober. - Dalam usaha memantapkan perkhidmatan-perkhidmatan kepada orang ramai terutama sekali dari segi memendekkan tempoh hari menghadapkan permohonan hingga kebenaran dikeluarkan 'turn around time' dan memudahkan lagi proses permohonan kemajuan kerja-kerja tanah atau bangunan, satu perubahan atau reformasi telah dibuat ke atas beberapa proses yang melibatkan beberapa agensi.

Antara agensi-agensi yang terlibat ialah Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), Divisyen Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) (Syarikat Telekom Brunei Berhad) dengan bantuan Unit Penggerak Jabatan Perdana Menteri.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pembangunan mengadakan Majlis Sesi Dialog No.  3/2015, Pembarigaan Proses Kawalan Kemajuan, bertempat di Dewan Indera Pahlawan, Bangunan Pusat Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan, di sini.

 291015_AMPUAN-02_DIALOG.jpg

AWANG Haji Marzuke bin Haji Mohsin semasa berucap pada sesi dialog tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

Reformasi tersebut adalah untuk membantu pihak kerajaan dalam mencapai hasrat untuk memperbaiki kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam laporan World Bank (Ease of Doing Business) terutama sekali dalam proses mendapatkan Kebenaran Perancangan, Kebenaran Kemajuan, Kebenaran Memulakan Kemajuan, Kebenaran Kesiapan Kemajuan dan penyambungan bekalan air dalam konteks pengendalian permit pembinaan dan seterusnya untuk mendapatkan bekalan elektrik.

 291015_AMPUAN03_DIALOG.jpg

WARGA Kementerian Pembangunan yang mengikuti sesi dialog berkenaan.

Pelaksanaan reformasi akan bermula pada 1 November ini, manakala bagi proses yang berkaitan dengan pelan-pelan keperluan talian telefon dan 'internet' dalam bangunan yang sebelum ini dihadapkan ke AITI / Syarikat Telekom Brunei Berhad bolehlah dihadapkan kepada Divisyen ABCi semasa menghadapkan permohonan Kebenaran Kemajuan mulai 1 November ini secara percubaan dan proses tersebut akan menjadi mandatori mulai 1 Disember 2015 ini.

Sementera itu, permohonan untuk mendapatkan kebenaran perancangan, semua arkitek-arkitek dan jurutera-jurutera profesional serta pelukis-pelukis pelan yang berdaftar adalah dipohonkan supaya menggunakan sistem e-KP secara 'online' dengan memastikan segala maklumat yang dimasukkan ke dalam sistem tersebut adalah lengkap, betul dan tepat.

 291015_AMPUAN04_DIALOG.jpg

ANTARA yang mengikuti sesi dialog berkenaan.

Ianya bertujuan untuk memudahkan dan melancarkan lagi pihak Jabatan Perancang Bandar dan Desa memproses permohonan kemajuan yang dihadapkan.

Arkitek-arkitek dan jurutera-jurutera profesional serta pelukis-pelukis pelan yang berdaftar adalah disyorkan supaya sentiasa peka dan patuh terhadap peraturan dan garis panduan perancangan, serta peraturan dan garis panduan piawai Brunei Darussalam PBD 12:2014 edisi ketiga.

Di samping itu arkitek-arkitek dan jurutera-jurutera profesional, pelukis-pelukis pelan serta kontraktor disyorkan untuk mengambil perhatian serius terhadap beberapa perkara, iaitu sentiasa mengambil langkah yang bersesuaian bagi meningkatkan serta mengekalkan tahap keselamatan dan kesihatan yang tinggi di tapak bina projek pada setiap masa; memenuhi spesifikasi dan keperluan dalam kontrak atau perjanjian masing-masing; serta semua pihak bertanggungjawab memastikan projek-projek adalah dilaksanakan mengikut pelan dan spesifikasi yang telah diluluskan, ditetapkan dan dipersetujui bagi kesemua projek-projek kerajaan dan swasta.

Turut hadir ialah Ketua Divisyen ABCi, Awang Muhammad Robin Yong bin Abdullah; pengarah-pengarah, agensi-agensi kerajaan, swasta, arkitek-arkitek, jurutera-jurutera profesional, pelukis pelan, kontraktor-kontraktor dan ketua jabatan Kementerian Pembangunan.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments